Retrospektif dan Suka Duka 2016

      No Comments on Retrospektif dan Suka Duka 2016

 

     Dua belas bulan bersamaan dengan setahun. Terasa baru semalam penulis menyiapkan penerbitan edisi Januari, namun sedar tidak sedar kini sidang editor sudah menamatkan penerbitan Disember 2016. Dalam tempoh itu, syukur kepada-Nya kerana 12 edisi berjaya diterbitkan untuk tatapan pembaca setia Pelita Bahasa.

     Sesungguhnya untuk menyiarkan makalah berkualiti tentang aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di samping ruangan berkaitan bahasa yang lain bukanlah satu tugas yang mudah. Sepanjang menangani penerbitan Pelita Bahasa ini, penulis berhadapan dengan pelbagai cabaran baik dari segala sudut. Walau bagaimanapun, berkat sokongan sidang editor, rakan editor, pembaca setia, serta penyumbang makalah yang berpengalaman termasuklah bantuan dan bimbingan daripada ketua editor, inilah hasil yang dapat ditatap oleh pembaca sepanjang tempoh 2016. Jika terdapat sebarang kekurangan, mohon penulis diberi kesempatan untuk membaiki kelemahan supaya dapat menyajikan makalah yang lebih sempurna pada masa hadapan jika masih diberi kesempatan.

     Bagi edisi terakhir untuk tahun 2016 ini, penulis mengetengahkan aspek bahasa di institusi kemahiran negara. Masyarakat tertanya-tanya bagaimanakah kehidupan seharian pelajar yang berada dalam dunia kemahiran tersebut menjalani kehidupan tanpa proses penyuburan bahasa Melayu dalam jiwa mereka? Namun begitu, hal berkenaan mungkin pendapat sesetengah pihak sahaja memandangkan masih terdapat pelajar yang mengikuti jurusan kemahiran mempunyai semangat cinta akan bahasa Melayu. Oleh sebab institusi latihan dan kemahiran yang terdapat di negara ini lebih mengutamakan aspek berteraskan latihan dan kemahiran semata-mata, maka pengajian mereka tidak lagi mengutamakan aspek bahasa, terutamanya dalam aspek pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu. Penilaian terhadap pelajar jurusan kemahiran ini lebih menjurus kepada proses kerja selaras dengan keperluan industri yang sebenar selepas tamat pengajian kelak. Hal ini bukanlah menjadi kesalahan besar kerana dengan hanya melihat dan mendengar pada nama sahaja, kita sudah sedia maklum bahawa pelajar-pelajar ini mengambil jurusan kemahiran. Yang menjadi perdebatan umum, adakah mereka masih menerapkan roh bahasa dalam diri masingmasing atau hanya memikirkan imbuhan yang bakal diperoleh sebaik baik sahaja tamat pengajian kelak? Adakah berlaku penyempitan bahasa dalam ruang lingkup kehidupan mereka?

     Walau bagaimanapun, semuanya sudah dijelaskan dalam kedua-dua makalah dalam ruangan fokus bahasa pada bulan ini. Sebagai editor, penulis hanya bertindak menyampaikan hasrat tertentu yang membelenggu fikiran masyarakat pada hari ini.

     Pada Oktober hingga Disember setiap tahun, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan acara wajib, iaitu sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang menjadi identiti DBP sejak dahulu lagi. 1Bahasa, 1Jiwa 1Bangsa telah dipilih sebagai tema sambutan pada tahun ini yang antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan bahasa dalam pembinaan tamadun bangsa. Slogan DBP, iaitu “Bahasa Jiwa Bangsa” pula terus dikekalkan sejak dicipta pada tahun 1952.

     Pada masa yang sama, DBP disarankan supaya lebih aktif menarik penyertaan badan korporat, syarikat swasta serta tokoh bahasa dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan BBK. Hal yang berkenaan disuarakan oleh Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia berikutan masih banyak pihak yang belum sedar dan peka terhadap sambutan BBK. Oleh
hal yang demikian, kerjasama kumpulan serta golongan terbabit dijangka mampu melonjakkan lagi martabat bahasa kebangsaan.

     “Banyak pihak yang masih tidak mengetahui tentang sambutan BBK, namun jika diberi penjelasan, bertemu dan melaksanakan program, sudah pasti rakyat berbilang kaum di negara ini akan menyertainya,” tegas beliau semasa sidang media selepas pelancaran BBK di Putrajaya pada 20 Oktober lalu.

      Pengisian sambutan BBK seharusnya mencerminkan kewibawaan dan keutuhan bahasa kebangsaan. Sebagai contoh, penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul, terutamanya di tempat awam amat penting kerana masyarakat begitu mudah terpengaruh dengan cara dan gaya bahasa yang digunakan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan golongan pelajar yang bergelar remaja. Gaya bahasa yang digunakan termasuk melalui papan iklan mega dan media sewajarnya menampilkan aspek bahasa yang gramatis.

     Teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, tentang banyak kawasan perumahan, taman, gedung niaga serta pusat pelancongan yang diberikan nama dalam bahasa Inggeris melalui kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dipandang serius. Sultan Nazrin bertitah, betapa malangnya bangsa melihat nasib bahasa Melayu dalam dunia korporat pada era globalisasi ini. Walaupun bahasa kebangsaan dianggap tidak memiliki nilai antarabangsa, hal ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia amat penting untuk mendukung identiti nasional.

     Semua pihak seharusnya melihat dan merenung kembali teguran Sultan Nazrin sebagai “kejutan dari tidur yang nyenyak” kerana mulai sekarang kita tidak boleh lagi diulit nostalgia lampau yang mengatakan bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca di rantau ini. Begitu juga dengan hasrat Menteri Pendidikan yang mahu melihat transformasi dalam sambutan BBK pada masa akan datang. Segala usaha yang dilakukan perlu difikirkan secara lebih mendalam.

Sidang editor Pelita Bahasa mengucapkanterima kasih kepada pembaca setia sepanjang tahun 2016.

Abd Kadir Mohd Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *