Suku-Sakat Kata

      No Comments on Suku-Sakat Kata

Oleh Kho Thong Eng

     Jika kita mengkaji kata-kata dalam bahasa Melayu dari segi semantik atau makna kata, kita akan mendapati bahawa wujud pelbagai jenis hubungan antara kata. Dalam hal ini, kita banyak meminjam istilah linguistik Barat untuk melabelkan hubungan semantik yang rencam antara kata.

    Hubungan semantik yang paling ketara ialah sinonim. Sinonim ialah kata yang seerti atau hampir sama erti. Contohnya ialah kata “menjinjing” yang seerti atau bersinonim dengan kata “membimbit”. Walaupun kata sinonim seerti, namun kontekspenggunaannya mungkin berbeza. Contohnya, kita sudah biasa menyebut kata majmuk “telefon bimbit”, tetapi kita tidak menggunakan nama “telefon jinjing”.

    Sinonim meliputi kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Contoh kata nama yang bersinonim ialah “pondok” dengan “teratak”, contoh sinonim kata kerja ialah “menyapa” dengan “menegur”, contoh sinonim adjektif ialah “pandai” dengan “cerdik”, dan contoh sinonim kata tugas ialah “sudah”dengan “telah”.

    Kata yang berlawanan maksudnya disebut antonim. Antonim juga meliputi kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Contoh antonim kata nama ialah “langit”dengan “bumi”, contoh antonim kata kerja ialah “bertemu”dengan “berpisah”, contoh antonim kata adjektif ialah “hitam” dengan “putih”, dan contoh antonim kata tugas ialah “pernah”dengan “belum”.

     Selain kata tunggal, kata antonim juga meliputi kata terbitan dan kata ganda. Contoh antonim kata terbitan ialah “membesarkan”dengan “mengecilkan”dan contoh antonim kata ganda ialah “sebaik-baiknya” dengan “sejahat-jahatnya”. Terdapat juga kata majmuk kiasan atau simpulan bahasa yang bertentangan maksudnya. Contohnya ialah “langkah kanan”dengan “langkah kiri”.

     Autoantonim ialah kata yang mendukung dua maksud yang bertentangan sekali gus. Jumlah autoantonim dalam bahasa Melayu amat kecil. Misalnya, kata “ geram”dan “menguliti”mempunyai maksud yang bertentangan antara satu sama lain. Kadang-kadang, maksud “geram” ialah “suka” dan adakalanya maksudnya bertukar menjadi “marah”, “menguliti” pula mendukung makna “memberi berkulit” dan “mengupas kulit”. Sila bandingkan ayat yang berikut:

1a  Aminah geram melihat bayi yang comel itu.             (suka)
1b  Fatimah geram kerana disindir oleh kawannya.        (marah)
2a  Nuriah menguliti bukunya.                                 (memberi berkulit)
2b  Para pekerja menguliti lembu itu.                      (mengupas kulit)

      Hipernim atau kata superordinat ialah kata umum yang mencakupi semua benda atau perkara yang sejenis. Contohnya, “bunga” ialah hipernim yang merangkumi pelbagai jenis bunga, seperti bunga raya, melati, melur, anggerik dan teratai, “burung” ialah hipernim yang meliputi burung nuri, tekukur, layang-layang, tiung, bayan, merbuk dan merpati, serta “majlis” ialah hipernim yang bermaksud perjumpaan, mesyuarat, seminar, kolokium, rapat umum, majlis suai kenal, upacara, dan sebagainya.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran November

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *