Aplikasi Ilmu Linguistik untuk Pelajar Berkeperluan Khas

Oleh Ezwafahmey Ahmad Kusaini

      Pendidikan untuk semua dalam konteks sistem pendidikan di Malaysia menegaskan tentang hak semua murid untuk pendidikan tanpa megira latar belakang sosial mahupun perkembangan intelek murid-murid tersebut. Murid-murid berkeperluan khas yang berada dalam program Pendidikan Khas di Malaysia terdiri daripada:

  1. “Sindrom Down”, “Perkembangan Lewat”, “Autisme”, “Hiperaktif”, “Crebral Palsy”, “Epiletik”, “Masalah Emosi” dan “Masalah Pertuturan.”
  2. Kanak-kanak Bermasalah Penglihatan.
  3. Kanak-kanak Bermasalah Pendengaran.

      Bagi memenuhi keperluan murid khas berkenaan, proses pengajaran dan pembelajaran yang dibentuk adalah fleksibel selaras dengan peraturan-peraturan pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, yang menyatakan bahawa “guru-guru boleh mengubah suai kaedah atau teknik pwngajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat Pendidikan Khas”.

     Pendidikan adalah perkara yang berkaitan dengan pengalaman terancang dan tanpa dirancang yang membolehkan pelajar dan orang dewasa berkembang serta belajar melalui interaksi dengan masyarakat dan budaya mereka. Pendidikan khas adalah program atau perkhidmatan yang dibina untuk memenuhi keperluan murid-murid berkeperluan khas. Hal ini demikian kerana keperluan setiap pelajar adalah berbeza, pendidikan khas memerlukan fleksibiliti dan motivasi dalam amalan pengajaran dan pembelajaran serta strategi  dan teknik pengajaran yang perlu diubah suai untuk diserapkan ke dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran kelas biasa. Pelaksanaan sesuatu program pendidikan khas juga memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan melibatkan hak-hak asasi manusia dan persamaan peluang.

      Pendidikan khas didefinisikan sebagai kaedah yang dibentuk khusus untuk memenuhi keperluan murid-murid yang mengalami pelbagai kecacatan atau kurang upaya. Pendidikan khas juga merangkumi aspek pengajaran dan pembelajaran, latihan jasmani dan juga pendidikan yang berteraskan rumah, hospital dan institusi. Pendidikan khas juga merupakan kaedah yang dibentuk khusus untuk memenuhi keperluan murid-murid yang mengalami kecacatan atau kurang upaya. Kurikulum untuk program pendidikan khas ini juga sebahagian daripada kurikulum biasa yang telah diubah suai dengan tujjuan memenuhi keperluan khas bagi murid yang mengalami pelbagai jenis kecacatan atau kurang upaya tersebut.

      Sejak lahir, pelajar berkeperluan khas melaui tahap perkembangan yang berbeza-beza mengikut perkembangan kognitif mereka. Perbezaan ini dapat menentukan sama ada pelajar itu normal atau sebaliknya. Dalam konteks pendidikan, pelajar tidak normal atau berkeperluan khas ialah pelajar yang berbeza daripada pelajar biasa dalam aspek yang berkaitan mental seperti keupayaan sensori, komunikasi, kebolehan tingkah laku sosial mahupun ciri-ciri fizikal yang boleh dilihat dengan jelas. Selain berkeperluan khas, pelajar seperti ini diistilahkan dengan pelajar istimewa, pelajar luar biasa, pelajar kurang upaya, pelajar cacat, pelajar abnormal, pelajar bermasalah dan pelajar terbantut pertumbuhan dan perkembangan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran November 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *