Ilmu Kepengarangan yang Dikesampingkan (Bahagian 2)

Oleh Nawi Ismail

     Pelita Bahasa (PB) keluaran lepas telah memperkatakan kesilapan sesetengah pelajar mempersembahkan isi karangan. Punca utamanya ialah kegagalan pelajar berkenaan menguasai dan mengamalkan kaedah persembahan isi karangan yang diajarkan oleh guru. Penjelasan tentang permasalahan tersebut dilanjutkan lagi dalam PB kali ini.

     Dalam sesi perbengkelan dengan 60 orang pelajar tingkatan enam baru-baru ini, pelajar diminta menulis satu isi karangan tentang faktor berlakunya kes penderaan kanak-kanak. Perenggan yang dihasilkan itu akan dijadikan bahan perbincangan dalam perbengkelan tersebut. Sila teliti perenggan karangan yang dihasilkan oleh Pelajar Z.

Faktor berlakunya kes penderaan kanak-kanak yang pertama adalah disebabkan oleh tekanan yang dialami oleh ibu bapa. Ini adalah kerana ibu bapa tidak diberikan perhatian di pejabat oleh pihak pengurusan. Ibu bapa memikirkan sekiranya mereka mendera anak-anak akan menjadi lebih berdisiplin. Pemikiran ini tidak seharusnya wujud dalam minda ibu bapa kerana penderaan kanak-kanak bukan sahaja tidak dapat mendisiplinkan kanak-kanak, malah akan mengakibatkan anak-nak terlibat dalam masalah sosial lain. Contohnya, anak-anak mungkin melibatkan diri dalam gengsterisme kerana mereka akan berpendapat bahawa kekerasan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan segala masalah. Keadaan sedemikian akan mengakibatkan negara kehilangan golongan muda yang berwibawa untuk mentadbir negara pada masa depan. Tekanan juga untuk mendisiplinkan anak-anak oleh ibu bapa juga merupakan antara punca yang mengakibatkan kes penderaaan kanak-kanak. Jadi tekanan hendaklah dikurangkan dalam diri ibu bapa kerana tekanan boleh mendera anak-anak.

                                                                                                                  (133 patah perkataan)

Sebelum memfokuskan karangan yang dihasilkan itu, pelajar diminta menjawab soalan yang berikut secara lisan.

Soalan Jawapan yang diharapkan
(a) Berapakah jumlah perkataan bagi karangan STPM?

(b) Berapakah jumlah isi yang perlu ditulis?

(c) Berapakah anggaran perkataan bagi setiap isi?

(d) Berapakah jumlah markah karangan?

(e) Berikan markah penuh bagi perkara berikut:

• Pendahuluan

• Isi

• Kesimpulan

• Pengolahan

• Bahasa

600 – 650 patah

5 atau 6 isi

75 – 90 patah

50 markah

 

3 markah

15 markah

3 markah

14 markah

15 markah

     Terdapat segelintir pelajar yang tidak mematuhi bilangan perkataan yang ditetapkan bagi satu-satu isi. Dalam perenggan di atas, Pelajar Z telah menulis satu isi karangan sepanjang 133 patah perkataan. Jika setiap isi ditulis sepanjang itu, karangan pelajar tentu melebihi 650 patah perkataan. Harus diingatkan bahawa dalam peperiksaan STPM, karangan pelajar akan dibaca sehingga 650 patah perkataan sahaja. Bahagian yang lebih itu tidak akan dibaca atau dinilai. Akibatnya, markah yang diperoleh tentulah kurang kerana selain sebahagian isi, kesimpulan karangan juga tidak diambil kira.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran November

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *