Bahasa Pemangkin Ketamadunan

      No Comments on Bahasa Pemangkin Ketamadunan

Oleh Ahmad Sayuti Mohd Yusob

teo

 “Jika kita sering sangat menggunakan bahasa asing yang ada padanannya dalam bahasa Melayu, maka kita akan kehilangan kebolehan berbahasa Melayu dengan cepat dan mudah,” ujar Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) dalam Forum Penulis Muda 2016: Bahasa dan Sastera dalam Pembentukan Jati Diri Bangsa yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 23 September yang lepas.

      Dengan bahasa, manusia membina peradaban demi peradaban. Dengan bahasa juga akan terbinanya budaya ilmu, keagamaan, kesenian dan kesusasteraan. Namun, kebolehan dan kemampuan berbahasa Melayu yang dilihat semakin lemah kini berkemungkinan merencatkan pembinaan tamadun dan peradaban. Selain itu, perkara tersebut juga akan menyebabkan terhakisnya jati diri bangsa Malaysia. “Kalau selalu menggunakan bentuk dan bahasa asing, kita seolah-olah tidak ada kebebasan budaya dan masih terikat dengan cara dan budaya orang lain, sedangkan orang asing tidak meminta pun kita mengikut budaya mereka. Bangsa yang mulia itu merupakan bangsa yang menghargai warisan budayanya sendiri,” jelas beliau lagi.

      Selain daripada membina tiang dan paksi ketamadunan yang luhur, bahasa juga menjadi elemen penting dalam menstabilkan struktur dan keadaan masyarakat yang sedia ada. “Apabila jati diri hilang, maka bahasa juga akan turut hilang. Dikatakan bahawa satu bahasa pupus dalam masa 14 hari dan dalam satu bulan sekurang-kurangnya dua bahasa akan pupus dan hilang kerana jumlah penuturnya yang semakin mengecil. Hal ini disebabkan generasi tua yang sudah tiada kerana hanya mereka yang menguasai sesuatu bahasa tersebut. Keduanya kerana bahasa tersebut sudah tidak memiliki fungsi dan maknanya yang tersendiri. Ketiga ialah kerana bahasa tersebut tidak lagi dipelajari”, kata Prof Datuk Dr. Mohamed Fadzil Che Din yang merupakan salah seorang panel dalam forum tersebut.

      Bahasa merupakan pengungkapan manusia yang paling dasar dalam kehidupannya. Melalui bahasa, manusia saling melengkapi kehidupan masing-masing.“Kita memerlukan bahasa kerana kita perlu saling berhubung. Terdapat empat elemen penting dalam diri, iaitu elemen roh, perasaan, tingkah laku, dan pemikiran yang memerlukan rangsangan dan maklum balas. Bahasa diperlukan dalam kehidupan seharian dan untuk memenuhi keperluan psikologi ataupun kejiwaan kita sendiri. Apabila kita bercakap tentang bahasa,hal ini melingkungi kehidupan seharian manusia,” ujar beliau. Beliau juga menyentuh mengenai peranan bahasa Inggeris dalam dunia globalisasi kini. “Memang benar dengan menguasai bahasa Inggeris kita mendapat kelebihan, tetapi adakah dengan berbahasa Inggeris kita dapat menyelesaikan masalah?” terang beliau.

     Jika bahasa Melayu pupus, maka yang perlu dipersalahkan ialah orang Melayu sendiri kerana lagi menjaga bahasa ibundanya. Bahasa merupakan maruah dan martabat bangsa. Dengan bahasa, jiwa bangsa akan mekar dengan akal nurani yang boleh mempertahankan tamadun dan peradaban.

Berita ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran November

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *