Forum Penyair ASEAN 2016

      No Comments on Forum Penyair ASEAN 2016

Oleh Siti Nur Hidayah Othman Bakar

forum-penyair

Kuala Lumpur – Pada 3 September 2016 bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka telah berlangsung Forum Penyair Asean 2016 dengan bertemakan Puisi: Untuk Diri atau Masyarakat? Dua tokoh sasterawan dari dua negara serumpum, Malaysia dan Indonesia iaitu Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan Zawawi Imron telah menyampaikan ucaptama bagi pembukaan forum ini.

      Seramai 12 pemakalah yang terdiri daripada sasterawan, penulis, penyair, ahli akademik dari Malaysia, Filipina, Kemboja, Indonesia, Singapura, Myanmar dan Thailand akan bersidang dan mengupas beberapa isu dunia kesusasteraan serantau dalam tiga slot utama. Antara isu yang diketengahkan adalah,”Penyair dan Kebebasan Ekspresi”, “Puisi sebagai Suara Diri atau Masyarakat?”, “Tanggungjawab Penyair dalam Masyarakat”. Pemakalah yang terlibat adalah Dr. Malim Ghozali PK, Muhammad Lutfi Ishak dan Dr. Lim Swee Tin dari Malaysia; Rukmi Wisnu Wardani dan Ahmadun Yosi Herfanda dari Indonesia; Hamed Ismail dan Dr. Saeda Buang dari Singapura; Dr. Shirley Lua dari Filipina; Oum Suphany dari Kemboja; Awang Haji Mohamad Rajap dari Brunei; Han Lynn dari Myanmar; serta Dr. Pen Pakata dari Thailand.

      Perbincangan intelektual ini mengupas mengenai keperluan sastera yang berbeza dalam konteks medium mendidik masyarakat tentang puisi. Selain sebagai platform diskusi ilmiah, program ini dapat mengeratkan lagi jaringan komuniti kesusateraan ASEAN yang mempunyai nilai daya saing global. Hal ini bertujuan bagi membawa dunia persuratan dan kepenyairan ke peringkat yang lebih tinggi.

       Dalam majlis yang sama, turut diadakan majlis pelancaran naskhah khas Pertemuan Penyair ASEAN berjudul “Puisi: Wadah Suara Kemanusiaan” terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang diselenggarakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Buku ini memuatkan kertas kerja sejak penganjuran pertama Forum Penyair ASEAN tahun 2015 seperti pembentangan hasil buah fikiran sasterawan, ahli akademik, penggiat sastera dari seluruh Asia Tenggara.

     Pelancaran buku dan perasmian acara ini disempurnakan oleh Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) selain turut dihadiri oleh Sakri Abdullah, pengurus besar ITBM dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, presiden PENA.

      Semangat golongan sastera dalam memartabatkan puisi hendaklah dicontohi oleh semua pihak. Forum seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang supaya masyarakat dapat mengubah ke arah kemajuan berfikir secara kreatif. Bagi golongan sastera pula perlu menggiatkan usaha penghasilan karya karya yang mampu memberikan renungan, pemikiran dan keberanian untuk menegur sambil memberikan harapan kepada masyarakat dan kemanusiaan.

Berita ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran November

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *