Mengenal Dialek Kelantan

      No Comments on Mengenal Dialek Kelantan

 

   Judul Buku     : Glosari Dialek Kelantan

   Penulis           : Haji Abdul Jalil Haji Anuar, Abdul Hamid Mahmood, Tengku Fauziah Ku Mat, Haji Abdullah Haji Salleh, Ismail Salleh

   Penerbit          : Dewan Bahasa dan Pustaka

   Tahun             : 2016

   Harga             : RM25.00

   Pengulas        : Junawati Ab Hamid

     Dialek yang disebut juga loghat atau bahasa daerah merupakan kelainan dalam sesuatu bahasa yang menjadi ciri golongan tertentu dalam kalangan penutur sesuatu bahasa itu. Walaupun penamaan dialek tersebut tidak mengikut amalan linguistik umum, namun kaedah penamaan ini adalah untuk memudahkan semua pihak.

     Di Malaysia terdapat pelbagai dialek yang dinamakan mengikut negeri di Semenanjung Malaysia, yang merupakan sempadan geopolitik, iaitu sempadan negeri. Antara dialek tersebut, termasuklah dialek Kelantan. Selain itu, dialek-dialek lain termasuklah dialek Terengganu, dialek Pahang, dialek Johor, dialek Melaka, dialek Negeri Sembilan, dialek Perak, dialek Kedah, dan dialek Pulau Pinang. Setiap dialek mempunyai ciri-ciri sistem bunyi (fonologi) dan perbendaharaan kata (leksikal) yang tersendiri yang membezakan antara satu dialek daripada dialek yang lain. Kewujudan dialek-dialek ini memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu dan khazanah persuratan Melayu.

     Dengan terbitnya buku Glosari Dialek Kelantan ini, dapatlah digunakan oleh pengguna bahasa untuk melihat perbezaan penggunaan dialek yang digunakan dalam sesuatu negeri, khususnya negeri Kelantan. Glosari Dialek Kelantan merupakan salah satu daripada sembilan glosari dialek yang telah berjaya dihasilkan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lapan lagi glosari yang telah diterbitkan ialah Glosari Terengganu Edisi Kedua, Glosari Kedah Edisi Kedua, Glosari Pahang, Glosari Perak, Glosari Pulau Pinang, Glosari Melaka, Glosari Negeri Sembilan,dan Glosari Johor.

    Usaha-usaha pengumpulan dan pendokumentasian kata-kata dialek Melayu ini dilakukan dengan suatu tekad, iaitu untuk memelihara khazanah tersebut daripada lupus. Antara tanda keluputan kata dialek ini dapat dilihat dengan berkurangnya penggunaan katakata dialek berkenaan dalam kalangan pengguna yang berbahasa Melayu. Dengan terbitnya glosari dialek ini, kosa kata dialek yang pernah dan masih digunakan oleh masyarakat penutur dialek ini terdokumentasi dan dapat dimanfaatkan oleh pelbagai pihak, terutamanya para penyelidik dialek, pelajar dan pendidik. Selain itu, glosari yang diterbitkan ini juga boleh digunakan untuk tujuan penyusunan kamus dialek dan kamus umum yang lain. Pada dasarnya, tujuan utama penyusunan glosari dialek ini adalah untuk memperkaya istilah bahasa Melayu dalam pelbagai bidang.

     Secara keseluruhannya, glosari ini mengandungi sebahagian besar kosa kata dialek Kelantan yang dapat dikesan daripada masyarakat penutur. Sebanyak 1017 entri telah dapat dikumpulkan daripada dua sumber utama, iaitu kajian kepustakaan dan kajian lapangan. Data kepustakaan terdiri daripada entri dalam Kamus Dewan yang ditandai label Kl sebagai glosari Kelantan dan kata-kata daripada bahan terbitan lain di Kelantan yang jarang-jarang digunakan di tempat lain atau dalam bahasa Melayu baku. Data lapangan pula terdiri daripada kata-kata yang dikesan oleh penyelidik, hasil temu bual mereka dengan anggota masyarakat di beberapa daerah dalam negeri Kelantan. Semua data yang didapati merupakan perbendaharaan kata dialek Kelantan seperti yang dituturkan oleh orangorang Melayu setempat di daerah sekitarnya.

      Sebagai bahan bacaan dan rujukan umum, glosari ini dilengkapkan dengan maklumat asas yang diperlukan oleh pembaca atau penyelidik. Maklumat yang dimasukkan dalam glosari ini ialah kata masukan (entri), transkripsi sebutannya, kelas kata, makna, contoh ayat mengikut bentuk (ayat dialek), sebutan dialek, dan maksudnya dalam bahasa Melayu baku.

Ulasan buku ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran November

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *