Soal Jawab Bahasa November

      No Comments on Soal Jawab Bahasa November

Oleh Abdul Ghalib Yunus

     Ayat pasif yang mempunyai dwimakna
Soalan:
Saya mohon pihak tuan membuat pencerahan tentang soalan yang berikut:
Jika ayat aktif “Zirafah itu mengangkangkan kakinya ketika sedang makan”, apakah ayat pasifnya?
Adakah jawapan yang berikut tepat?
1. Ketika sedang makan, kaki zirafah itu dikangkangkannya.
2. Ketika sedang makan, kaki zirafah itu dikangkangkan olehnya.
Terima kasih.

Daripada:
Rosmawati Lainam,
Beufort, Sabah

      Jawapan:
Ayat aktif tersebut sepatutnya seperti yang berikut;
1. Zirafah itu mengangkangkan kaki ketika sedang makan.
Apabila dipasifkan, ayat yang terbentuk ialah “Kaki dikangkang oleh Zirafah itu ketika sedang makan.”
Jika ayat tersebut mempunyai perkataan “-nya”, ayat tersebut akan menimbulkan dwimakna. “ -Nya” dalam ayat pasif tersebut seolah-olah orang lain, bukan zirafah.
1(a) Ketika sedang makan, kaki zirafah itu dikangkangkan olehnya.
1(b) Ketika sedang makan, kaki zirafah itu dikangkangkan oleh dia/Haris.

Namun begitu, dari segi kegramatisan ayat, ayat tersebut tetap gramatis. Oleh hal yang demikian, jawapan yang puan kemukakan boleh juga diterima mengikut rumus pembentukan ayat pasif.

     Ayat susunan songsang

Soalan:
Tuan, apakah ayat susunan biasa yang tepat bagi ayat susunan songsang di bawah:
1. Sedang menjalani latihan intensif pelatih di institusi kemahiran itu.
Jawapan dalam skema jawapan ialah:
1(a) Pelatih sedang menjalani latihan intensif di institusi kemahiran itu.
1(b) Pelatih di institusi kemahiran itu sedang menjalani latihan intensif.

Daripada:
Abdul Syukur Ahmad,
Mersing.

     Jawapan:
Ayat (1a) dan (1b) membawa maksud yang berbeza. Ayat (1a) bermaksud pelatih dan institusinya. Ayat (1b) pula bermaksud tempat yang dijadikan latihan. Oleh hal yang demikian, ayat (1b) lebih tepat.

      Pola Ayat

Soalan:
Saya ingin mengemukakan soalan tentang beberapa ayat yang berikut:
1. Kuda itu berlari pantas.
2. Gasing itu berputar ligat.
Apakah pola ayat bagi kedua-dua ayat ini? Jawapan yang dikemukakan dalam buku rujukan saya ialah ayat (1) polanya FN+FK, manakala ayat (2) pola ayatnya FN+FA. Persoalannya ialah apakah perbezaan kedua-dua ayat tersebut? Atau adakah jawapan yang diberikan salah? Mohon penjelasan daripada cikgu.

Daripada:
Wan Aishah, Muar

     Jawapan:
Kedua-duanya berpola Frasa Nama + Frasa Kerja. Dalam kedua-dua ayat tersebut, perkataan “pantas” dan “ligat” bukan kata adjektif, tetapi kata adverba yang menerangkan kata kerja “berlari” dan “berputar”. Oleh hal yang demikian, ayat tersebut berpola Frasa Nama + Frasa Kerja.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran November

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *