Kata Ganda Penuh dan Makna

      No Comments on Kata Ganda Penuh dan Makna

Oleh Nia Kurniati

     Kata ganda penuh ialah salah satu daripada tiga bentuk utama kata ganda yang terdapat dalam bahasa Melayu. Dua bentuk lagi ialah kata ganda separa dan kata ganda berentak. Kata ganda penuh dapat dibahagikan kepada tiga bentuk utama penggandaan, iaitu penggandaan penuh kata dasar tunggal, kata terbitan atau berimbuhan, dan kata majmuk. Pengandaan ini tidak hanya mendukung makna jamak, tetapi turut mendukung pelbagai makna. Selain jamak, makna-makna lain termasuklah kesamaan atau keserupaan, demi, berulang-ulang, sungguh-sungguh, tidak sungguh-sungguh atau santai, dan tidak tentu,

     i. Makna jamak

Dalam bahasa Melayu, penggandaan penuh kata nama, akan mendukung makna jamak, seperti aspek-aspek, karya-karya, pelajar-pelajar, pekerja-pekerja, perkataan-perkataan, dan tanggungjawab-tanggungjawab. Contoh penggunaannya dalam ayat:

1. Chomsky sendiri telah beberapa kali mengubah pendiriannya tentang aspek-aspek tertentu dalam tatabahasa.
2. Nama pena ialah nama yang digunakan oleh penulis pada karya-karya untuk menggantikan nama sebenar.
3. Pelajar-pelajar dari Jabatan Pengajian Melayu ada juga yang telah menjadi guru Bahasa Inggeris.

4. Pekerja-pekerja yang terlibat dalam demonstrasi jalanan telah digantung tugas.
5. Semasa mengajar kanak-kanak, kita perlulah menggunakan perkataan-perkataan yang bersesuaian agar mudah difahami.
6. Tanggungjawab-tanggungjawab mengenai agama Islam dan adat resam Melayu masih kekal di tangan raja-raja Melayu.

Kata ganda penuh yang mendukung makna jamak itu terbentuk daripada penggandaan kata dasar, kata berimbuhan, dan kata majmuk (bentuk yang disatukan).

     ii. Makna kesamaan atau keserupaan

Penggandaan penuh kata nama juga boleh mendukung makna kesamaan atau keserupaan, seperti langit-langit, anak-anak, gula-gula, siku-siku, dan kuda-kuda. Contoh penggunaannya dalam ayat:

7. Langit-langit yang menjadi tempat teduhan atau khemah Rustam itu telah dimusnahkan.
8. Pemulihan pembacaan dengan menggunakan terapi tingkah laku secara sistematik boleh membawa perubahan kepada anak-anak yang mengalami kerencatan pembacaan khusus.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran November

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *