Rumus PTKS dalam Pengimbuhan

      No Comments on Rumus PTKS dalam Pengimbuhan

Oleh Muhammad Norrudin bin Abdul Aziz

      Bahasa Melayu ialah bahasa yang berbentuk aglunatif, iaitu bersifat derivatif. Derivatif merupakan proses yang dapat menerbitkan pelbagai perkataan melalui cantuman kata dasar dengan berbagai-bagai bentuk imbuhan. Pengimbuhan merupakan proses menerbitkan perkataan dengan mencantumkan pelbagai imbuhan pada golongan kata tertentu yang mengubah makna dan golongan kata, serta membentuk kata terbitan. Terdapat empat jenis imbuhan, yakni awalan, akhiran, apitan dan sisipan.

     Rumus PTKS ialah perubahan yang berlaku pada huruf pertama, iaitu huruf PTKS yang akan lebur, atau digugurkan. Rumus ini berlaku pada awalan dan apitan sahaja. Imbuhan yang berubah hanyalah awalan yang membentuk awalan peN- seperti pem-, pen-, peng- dan peny serta meN seperti mem-, men-, meng- dan meny-. Sila teliti jadual di bawah ini:

Awalan + Huruf Pertama

Konsep

Contoh

pem- + p p digugurkan pemimpin
pen + t t digugurkan penembak
peng- + k k digugurkan pengawal
pe + s suku kata berubah kepada ny- penyapu

Apabila sesuatu kata dasar menerima awalan peN- atau meN-, huruf pertama sesuatu perkataan yang terdiri daripada huruf PTKS akan luluh atau hilang. Sila lihat ayat yang berikut:

1. Beliau ialah pempimpin yang berjiwa rakyat

Ayat 1 di atas menunjukkan kesalahan proses imbuhan kerana awalan peN- diimbuhkan pada kata dasar pimpin yang sepatutnya menjadi pemimpin bukannya pempimpin. Ayat yang betul adalah seperti yang berikut:

1(b) Beliau ialah pemimpin yang berjiwa rakyat.

Seterusnya, awalan peN- yang diimbuhkan pada kata dasar yang berpangkalkan huruf t, k, dan s juga digugurkan. Huruf t tadi digantikan dengan huruf n, manakala huruf k digantikan dengan ng dan s digantikan dengan ny.

tembak –> pen- + tembak —–penembak (bukan pentembak)
kawal –> peng- + kawal —-pengawal (bukan pengkawal)
sapu –> peny- + sapu —-penyapu (bukan pensapu)

Hal yang sama juga berlaku terhadap apitan seperti peN-…-an dan meN-…-kan seperti contoh di bawah ini:

pusat –> pem- + pusat + -an —- pemusatan (bukan mempusatan)
tulis –> pen- + tulis + -an —- penulisan (bukan pentulisan)
kaya –> peng- + kaya + -an —- pengayaan (bukan pengkayaan)
senarai –> peny- + senarai + -an —- penyenaraian (bukan pensenaraian)

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran November

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *