Modul Pembelajaran Kendiri Meningkatkan Keprofesionalan Guru

Oleh Md Ishak A. Rahman

Modul pembelajaran kendiri dalam pengajaran bahasa merupakan latihan khusus untuk pelajar mencapai kemahiran berbahasa. Modul ini dilaksanakan sendiri oleh pelajar tanpa tunjuk ajar guru, sebaliknya guru bertindak sebagai pemudah cara. Panduan dan arahan kepada pelajar telah disediakan bersama-sama modul tersebut. Secara ringkasnya, modul tersebut disediakan untuk membantu pelajar menajamkan kemahiran berbahasa melalui aktiviti pengayaan. Guru juga boleh menggunakan modul untuk pengajaran yang lebih objektif dan mengelakkan pengajaran berulangan yang boleh mengurangkan fokus terhadap tugas di dalam kelas.

Modul pembelajaran kendiri perlu disediakan oleh guru bagi memastikan pelajar melakukan pembelajaran secara bebas tetapi terancang tanpa arahan guru. Langkah ini secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran dan keprofesionalan guru dalam pengajaran bahasa. Guru akan lebih memahami keperluan pembelajaran pelajar yang berbeza dari segi tahap pencapaian dan latar belakang.

Modul pembelajaran kendiri juga diberikan kepada pelajar sebagai kerja rumah, tugasan masa cuti sekolah, ketika guru tidak hadir ke kelas kerana urusan rasmi, atau pada waktu senggang pelajar. Modul ini juga sesuai digunakan oleh guru ganti bukan guru mata pelajaran. Pelajar hanya perlu berinteraksi dengan bahan dan melaksanakan pembelajaran berdasarkan minat dan kemampuan sendiri.

Pada kebiasaannya guru memenuhi masa tersebut dengan memberikan latihan menjawab kertas soalan peperiksaan yang dipetik daripada buku-buku yang ada di pasaran atau contoh latihan peperiksaan yang dimuat turun daripada internet. Tugasan sedemikian jika terlalu kerap boleh membosankan pelajar dan menyebabkan mereka kurang bermotivasi. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar terpaksa membuat tugasan yang perlu menepati skema jawapan. Sekiranya jawapan tidak menepati skema, tugasan itu seolah-olah gagal. Mereka terpaksa membuat pembetulan jika jawapan tidak tepat dengan skema jawapan.

Sekiranya guru menyediakan modul pembelajaran kendiri, objektif pembelajaran lebih jelas dan terbuka, di samping memberikan impak kepada keprofesionalan guru. Guru boleh bekerjasama dengan rakan guru dalam panitia untuk menyediakan modul berkenaan. Sebagai
contoh, sekiranya setiap guru menyediakan dua atau tiga modul bermakna panitia mempunyai helaian modul berganda sebagai bank modul yang boleh digunakan pada bila-bila masa. Modul-modul tersebut boleh disimpan di dalam fail yang lengkap dengan maklumat penggunaan serta objektif aktiviti pembelajaran. Kertas modul pembelajaran itu boleh dikeluarkan dan diperbanyakkan untuk kegunaan kumpulan pelajar dalam kelas. Bagi sekolah yang mempunyai kemudahan rangkaian komputer dan talian internet, modul itu boleh disimpan di dalam fail yang boleh diakses oleh pelajar dan guru pada bila-bila masa.

Penggunaan modul pembelajaran kendiri memudahkan guru membuat kawalan kelas. Setiap pelajar berinteraksi dengan bahan yang dimiliki dan bertanggungjawab menyelesaikan tugasan masing-masing. Bagi menyediakan modul pembelajaran kendiri, aktiviti itu seharusnya mempunyai matlamat untuk melahirkan individu pelajar yang kreatif dan inovatif. Mereka dapat membina kemahiran belajar dengan berinteraksi menggunakan bahan yang disediakan secara komprehensif dan tidak terkongkong dengan peraturan pemarkahan. Modul pembelajaran ini lebih mementingkan hasil penulisan dan penaakulan terhadap bahan rangsangan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran November

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *