Aliran Sains atau Sastera

      No Comments on Aliran Sains atau Sastera

Oleh Nurul Muhaminah

Bukan sesuatu yang luar biasa apabila banyak dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berasa keliru, malah ada yang tidak tahu untuk membuat pilihan program pengajian ketika hendak melanjutkan pengajian sama ada di universiti awam (UA) atau universiti swasta (US). Pada kebiasaannya, ketika pelajar berada di tingkatan empat dan lima, rata-rata mereka masih belum mendapat gambaran untuk ke UA atau US. Apabila diajukan soalan, apakah perancangan mereka selepas tamat persekolahan? Jawapan yang diberikan pasti ingin melangkah ke menara gading. Namun begitu, mereka tidak dapat menyatakan secara terperinci berhubung dengan pilihan bidang pengajian mereka.

Mungkin salah satu faktor ketidakpastian ini adalah disebabkan oleh kurangnya pendedahan terhadap hala tuju pelajar selepas menamatkan pengajian. Pada hakikatnya, terdapat dua bidang utama yang membezakan pengajian yang akan dipilih di universiti kelak, iaitu latar belakang pendidikan beraliran sastera dan sains. Pemilihan kelas aliran Sastera mahupun Sains tidak dinafikan akan menentukan hala tuju dan masa hadapan pelajar untuk menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya menceburi alam pekerjaan.

Bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, sudah tentu mereka boleh memilih universiti sebagai destinasi selepas SPM. Permohonan boleh dibuat melalui UPU sebelum ditawarkan program diploma atau asasi di mana-mana UA di Malaysia. Pelajarcemerlang juga dapatmengikuti program pengajian asas di matrikulasi dalam bidang Sains Hayat, Sains Fizikal atau Perakaunan. Setelah selesai program asasi atau matrikulasi, pelajar boleh memohon melalui UPU untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan yang diminati bagi peringkat ijazah. Program matriks berlangsung selama setahun atau dua tahun bergantung pada keputusan SPM pelajar. Pelajar yang lebih bernasib baik pula ada yang mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara. Antara negara yang sering menjadi pilihan termasuklah United Kingdom, Rusia, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Indonesia, Jepun dan beberapa buah negara di Timur Tengah.

Sementara itu, pelajar yang lebih cenderung dalam bidang teknikal pula boleh melanjutkan pelajaran di politeknik dengan memilih kursus pada peringkat sijil dan diploma yang bersesuaian dengan minat mereka. Terdapat juga beberapa buah universiti yang menawarkan program teknikal, seperti di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), dan lain-lain institut kemahiran. Dalam pada itu, US dan kolej swasta juga banyak diwujudkan di negara ini bagi memberikan peluang melanjutkan pelajaran. Selain itu, terdapat juga kolej yang menawarkan program diploma bersekutu dengan UA, seperti Kolej Poly-Tech MARA dan Kolej Shahputra yang menawarkan program diploma. Tidak kurang juga pelajar yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam sebagai destinasi terakhir mereka selepas SPM. Istimewanya, pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diberikan keutamaan untuk membuat permohonan ke universiti berbanding dengan pelajar lepasan diploma dan matrikulasi.

Mungkin banyak pihak yang tertanya-tanya apakah perbezaan kedua-dua aliran ini dan yang paling pentingaliran manakah yang lebih penting? Pada hakikatnya, tidak kira aliran sastera atau sains, kedua-duanya perlu seiring dengan minat dan kemampuan pelajar untuk mendalami ilmu yang dipilih. Berdasarkan formula sistem persekolahan di negara ini, keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) digunakan sebagai kelayakan pelajar untuk memasuki aliran sastera mahupun sains ketika mereka berada di tingkatan empat dan lima. Umum mengetahui bahawa,pada kebiasaannya pelajar cemerlang akan memasuki aliran sains, manakala selebihnya akan memilih aliran sastera. Namun begitu, hal ini tidak bermaksud aliran sastera untuk pelajar yang lemah dan sebaliknya. Hal ini dikatakan demikian kerana masih ada pelajar cemerlang yang meminati aliran sastera dan memilih untuk memasuki aliran tersebut. Pelajar masih berpeluang memilih aliran masing-masing mengikut aliran yang diminati. Oleh itu, banyak pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran Matematik dan sains memilih aliran sastera kerana minatyang mendalam dalam dunia kesusasteraan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran November

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *