Kuasai Kemahiran Bukannya Meneka

      No Comments on Kuasai Kemahiran Bukannya Meneka

Oleh Alias Ismail

Seperti tahun yang sudah, November dan Disember pasti menjadi bulan yang sangat menguji kepada pelajar tingkatan lima di seluruh negara kerana pada bulan inilah kebijaksanaan pelajar diukur. Yang menjadi kayu ukur kebestarian mereka ialah peperiksaan awam yang dikenali sebagai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh sebab itu, tidaklah menjadi suatu perkara yang menghairankan apabila bulan tersebut dianggap sebagai bulan penentu oleh pelajar dalam konteks hala tuju mereka pada tahun yang seterusnya dalam usaha membina masa hadapan yang baik dan cemerlang. Maka, November dan Disember pada setiap tahun menjadi tempoh masa bagi setiap calon SPM memburu sekeping sijil dengan catatan keputusan yang baik.

Satu perkara yang harus diambil perhatian dalam konteks ini ialah pemerolehan sijil padab peringkat SPM secara mutlaknya ditentukan oleh lulus atau tidaknya calon peperiksaan berkenaan dalam dua mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah. Hal yang sedemikian berlaku sejak beberapa tahun yang lalu atas beberapa sebab yang melibatkan kepentingan negara. Satu daripada kepentingan itu terarah kepada usaha pemupukan jati diri rakyat di negara ini yang berbilang bangsa, berlainan budaya, dan berkepelbagaian agama. Sungguhpun begitu, sebelum 2013, Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran tunggal yang menjadi penentu kepada pemerolehan sijil dalam kalangan pelajar pada peringkat peperiksaan SPM.

Keadaan yang seumpama itu akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa, bak kata pepatah “sekali air bah, sekali pantai berubah”. Buktinya, berdasarkan perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bermula pada tahun hadapan (2017), satu mata pelajaran lagi, iaitu Bahasa Inggeris akan dikelompokkan bersama-sama dengan dua mata pelajaran yang sedia ada sebagai mata pelajaran wajib lulus pada peringkat peperiksaan awam. Oleh hal yang demikian, cabaran kepada pelajar yang menduduki SPM pada tahun hadapan terutamanya “pelajar kelas hujung” akan menjadi lebih besar, namun jika perkara ini dihadapi dengan jiwa besar, cabaran itu boleh diubah menjadi suatu motivasi.

Cabaran yang besar turut dihadapi oleh pelajar yang tergolong dalam kelompok “pelajar kelas hadapan” dan “pelajar kelas pertengahan”. Pelajar yang tergolong dalam kumpulan calon kelas hadapan sudah pasti akan melihat mata pelajaran wajib lulus itu bukan setakat memperoleh markah yang minimum, sebaliknya memperoleh markah cemerlang sama ada A+, A, atau pun A-. Calon kelas pertengahan pula melihat semua mata pelajaran wajib lulus itu sebagai mata pelajaran yang perlu dikuasai dengan keputusan gred kepujian sama ada C atau C+, malahan jika boleh, mereka akan cuba sedaya upaya memperoleh keputusan pada tahap baik, sama ada B atau B+.

Dalam konteks cabaran peperiksaan SPM 2016 yang dijadualkan bermula pada
pertengahan bulan ini, penekanan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu seharusnya sudah berlaku semenjak awal tahun lagi. Sungguhpun demikian, pelajar yang belum lagi mantap persediaannya masih dikira mempunyai sedikit ruang untuk melaksanakan penambahbaikan. Oleh sebab itu, pada hari-hari yang berbaki ini eloklah pelajar melihat bentuk fokus mereka ke atas mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai satu daripada usaha yang relevan dengan matlamat memenuhi impian masing-masing. Dengan kata lain, nasihat yang perlu diberi perhatian oleh pelajar ialah mereka tidak wajar cepat berpuas hati atau berputus asa atas pencapaian terkini masing-masing.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran November

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *