Jangan Menganaktirikan Bahasa Melayu

      No Comments on Jangan Menganaktirikan Bahasa Melayu

Oleh  Nusaibah Kaab ( Bukit Tinggi, Pahang )

    Pesan orang tua, menyikat gunakan sisir, meraut gunakan pisau, menyalai gunakan asap, memanggang gunakan bara. Maka, harus kita fahami bahawa jika hendak melakukan sesuatu perkara yang baharu tidak seharusnya menggunakan konsep “cuba-cuba” yang akhirnya merugikan bangsa sendiri. Begitulah nasib bahasa Melayu ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak.

     Yang menariknya, pesanan dan peringatan ini bukan disuarakan oleh pejuang bahasa , tetapi seorang sultan yang prihatin dan ambil peduli akan bahasa ibundanya. Semestinya apabila titah individu yang sangat dihormati dan disanjung itu dizahirkan, hal ini menampakkan kepincangan yang semakin serius terhadap nasib bahasa Melayu.

     Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, bahasa Melayu itu berakar di bumi ini. Bahasa Melayu itu, pada era pramerdeka telah secara semula jadi menjadi alat perpaduan dalam kalangan penduduk di bumi ini dan pada era pascamerdeka telah berperanan memberikan identiti dan melambangkan jati diri bangsa.

     Malah Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa orang Melayu bukannya tikus Belanda yang sering dijadikan alat uji kaji demi kepentingan tertentu. Pengetahuan dwibahasa sememang perlu dalam arus globalisasi yang serba maju, namun menidakkan bahasa ibunda di tempat yang paling tinggi merupakan tindakan yang amat mengecewakan.

     “Jangan nanti, bangsa menjadi Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai. Jangan dinafikan hakikat bahawa kejayaan peningkatan bilangan kelas menengah Melayu berlaku selepas Dasar Perlaksanaan Kebangsaan dilaksanakan sepenuhnya,” begitulah ingatan Sultan Nazrin kepada khalayak sewaktu mencemar duli di Majlis Titah Diraja bersempena dengan sambutan 60 tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 5 Oktober yang lalu.

    Mahu tidak mahu, semua pihak seharusnya memandang serius titah Sultan Nazrin tersebut kerana menurut dapatan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO), bahawa bahasa yang paling baik dan efisien untuk mendapatkan ilmu ialah bahasa ibunda.

Komentar ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran November

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *