Jangan Memperjudikan Nasib Sendiri

      No Comments on Jangan Memperjudikan Nasib Sendiri

 

    Rata-rata rakyat Malaysia perlu menghadapi salah satu ujian dalam kehidupan, iaitu menghadapi peperiksaan semasa berada di alam persekolahan. Tidak keterlaluan jika dikatakan keputusan peperiksaan juga mampu menentukan tahap kebijaksanaan seseorang, seterusnya menentukan kelangsungan hidup mereka kelak. Peperiksaan merupakan ujian yang dilaksanakan untuk menentukan tahap kebolehan seseorang pelajar. Di Malaysia, pelajar dikehendaki untuk menduduki peperiksaan bagi peringkat yang berbeza seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan sebagainya.

    Menyedari akan hakikat tersebut, kebanyakan pelajar berpendapat bahawa keputusan peperiksaan cemerlang yang diperoleh merupakan suatu kebanggaan kepada diri dan kedua-dua ibu bapa mereka. Oleh hal yang demikian, mereka akan berusaha dan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang cemerlang. Dalam hal ini, tidak kurang juga pelajar yang berasa malu atau kecewa jika gagal mendapat keputusan seperti yang diimpikan walaupun sudah berusaha semaksimum yang mungkin.

     Sejak dahulu lagi, pelajar terdidik supaya mementingkan keputusan peperiksaan. Banyak kes dilaporkan berlaku di dalam dewan peperiksaan. Umpamanya, isu pelajar yang meniru semasa peperiksaan kerana terdesak untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Terdapat juga pelajar yang sanggup menggunakan pelbagai cara yang bertentangan untuk mendapat markah tinggi sehingga mewujudkan situasi yang tidak sihat.

   Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan juga memberikan tekanan kepada para pelajar. Kehendak guru yang menyasarkan pelajar tertentu di sesebuah sekolah juga memaksa mereka berusaha di luar kemampuan. Pada masa yang sama, kehendak ibu bapa juga harus dipenuhi. Lebih membimbangkan, apabila pelajar terbabit tidak mengetahui cara untuk melepaskan tekanan, mereka mula terlibat dengan gejala negatif yang pada akhirnya tidak memberikan apa-apa faedah kepada diri sendiri.

      Akibat terlalu memikirkan keputusan yang bakal diperoleh, majoriti pelajar mula membuat perkiraan sendiri tentang soalan yang bakal diuji pada peperiksaan kelak. Kebanyakan pelajar dilihat cenderung untuk meneka soalansoalan sehingga detik akhir menjelang peperiksaan. Kecenderungan mereka turut melonjakkan permintaan terhadap soalan-soalan ramalan di pasaran. Masakan tidak, sebilangan besar pelajar sanggup menghabiskan wang saku pemberian ibu bapa untuk mendapatkan pelbagai jenis buku rujukan atau koleksi soalan ramalan yang dijual di pelbagai gedung buku.

Abd Kadir Mohd Ayob

Tinta editor ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran November

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *