Nasionalis Melayu Pejuang Kemerdekaan dalam Cerpen “Cinta Ahmad Mutawakkil”

Oleh Sara Beden

     Cerpen “Cinta Ahmad Mutawakkil” garapan Zainal Rashid Ahmad terpilih sebagai salah sebuah cerpen yang dimuatkan dalam Antologi Sejadah Rindu (2015). Antologi ini mula diguna pakai pada tahun 2016 sebagai teks komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima. Cerpen sepanjang 12 halaman ini berlatarkan Tanah Melayu yang dijajah oleh penjajah Inggeris, Jepun dan komunis pada masa itu.

    Latar masa pula melibatkan tahun 1930-an – 1950-an, iaitu sehingga 31 Ogos 1957 apabila penduduk kampung mengadakan majlis doa kesyukuran bersempena dengan sambutan kemerdekaan dan bacaan tahlil bagi mengingati pemimpin yang menjadi idola mereka, iaitu Ahmad Mutawakkil. Cerpen ini bertemakan perjuangan menuntut kemerdekaan yang diterajui oleh Ahmad Mutawakkil. Beliau bertindak sebagai pemimpin muda yang berjuang menentang penjajah dengan menggunakan ilmu dan kebijaksanaan yang dimilikinya menerusi ketajaman mata pena. Beliau menyeru, menasihati dan meniupkan semangat perjuangan dalam kalangan masyarakat Melayu agar bersatu menentang penjajah demi sebuah kemerdekaan. Walaupun Ahmad Mutawakkil meninggal dunia sebelum kemerdekaan dapat dicapai, semangat perjuangannya tidak lenyap daripada ingatan rakan-rakan bangsanya.

    Ahmad Mutawakkil dalam cerpen ini bertindak sebagai watak utama yang mencerminkan ciri-ciri nasionalis Melayu walaupun zaman perjuangannya berlaku dalam masa yang singkat, iaitu dari usia belasan sehingga usia 25 tahun. Ciri-ciri nasionalis yang terdapat pada diri Ahmad Mutawakkil ini merangkumi semangat patriotisme yang tinggi, keberanian, budaya kepemimpinan berkaliber dan kepetahan berpidato.

Semangat patriotisme

Patriotisme merupakan perasaan cintakan tanah air yang mendalam berasaskan kesedaran seseorang terhadap kewarganegaraannya dan kesetiaan sehingga sanggup berkorban nyawa untuk tanah airnya. Seseorang itu sanggup berjuang demi sayangkan negara, bangsa dan agama tanpa perasaan prejudis terhadap mana-mana kaum, agama mahupun ideologi yang berbeza perasaan yang tidak berbelah bahagi. Ahmad Mutawakkil dalam cerpen ini digambarkan sebagai seorang yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi walaupun perjuangannya berlaku dalam masa yang singkat. Beliau berjuang bukan setakat mahu menuntut kemerdekaan daripada Inggeris malahan lebih jauh dari itu wawasannya semata-mata untuk bangsa Melayu. Hal ini sebagaimana yang digambarkan oleh pengarang dalam petikan yang berikut:

Halaman Dialog/penerangan
51-52 “Persekutuan Tanah Melayu mesti jadi kenyataan”.

Tidak cukup dengan tanggungjawabnya ke sana sini untuk berceramah, Ahmad Mutawakkil turut menulis dalam surat khabar. Dia juga terkenal sebagai wartawan. Tulisannya banyak merangsang orang Melayu untuk bersiap sedia mengisi kemerdekaan.

“Jangan nanti selepas merdeka, kita jadi macam kera mendapat bunga.” Untuk merdeka katanya, perjuangan bukan setakat mendesak Inggeris berundur.

Malah demi mengisi kemerdekaan, kita juga perlu mendesak diri sendiri, mengikis semua tabiat buruk bangsa kita. Kita pasti akan merdeka dan untuk itu kita perlu berjuang mengubah sikap dan pandangan sempit bangsa kita… .”

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran Oktober

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *