Antara Parkir dan Tempat Letak Kereta

      No Comments on Antara Parkir dan Tempat Letak Kereta

Oleh S. Nathesan

    Ungkapan tempat letak kereta sudah lama digunakan dalam bahasa Melayu untuk membawa maksud parking dalam bahasa Inggeris. Namun, kebelakangan ini sudah terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk menggunakan kata parkir untuk menggantikan rangkai kata tempat letak kereta. Persoalannya, adakah kata parkir dapat menggantikan atau menjadi kata alternatif bagi ungkapan tempat letak kereta dalam bahasa Melayu? Adakah maksud parkir sama dengan tempat meletak kereta?

     Kamus Dewan (2015), menggolongkan parkir sebagai kata pinjaman Indonesia Belanda dan didefinisikan sebagai ‘tempat menyimpan kereta.  Kata tersebut pertama kali dicatatkan dalam Kamus Dewan, terbitan tahun 1970 dengan mendukung maksud tempat meletak kereta. Walaupun sudah tercatat dalam kamus-kamus Melayu lain, namun kata tersebut didapati kurang atau langsung tidak digunakan oleh masyarakat kita.

     Dari segi asal usulnya, kata parkir berasal daripada kata Belanda ‘parkeren’ yang bermaksud ‘memasukkan kenderaan ke dalam petak letak kereta’. Daripada parkeren, kata tersebut menjadi parkir dalam bahasa Indonesia. Dalam An English-Indonesian Dictionary (1975), kata parking diberikan parkir sebagai kata padanannya.

     Walau bagaimanapun, ungkapan ‘tempat letak kereta’ sudah lama digunakan dalam bahasa Melayu sebagai kata padanan bagi parking. Winstedt (1963) dalam kamus susunannya mencatatkan ‘letak (kereta)’ sebagai maksud bagi kata park. Dalam Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia (1979), ungkapan ‘tempat letak (menyimpan) kereta’ diberikan sebagai padanan bagi kata park.

       Terdapat beberapa buah kamus Melayu lain yang sudah mempunyai entri kata parkir. Antaranya termasuk Kamus Komprehensif Bahasa Melayu (2005), susunan Arbak Othman, Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995), susunan Zainal Abidin Safarman, dan Kamus Pelajar Delta (1988), susunan Lutfi Abas dan Awang Sariyan.  Dalam kamus berkenaan, parkir juga mendukung maksud tempat meletakkan kereta dan menghentikan kereta.

Kata parkir sudah juga digunakan dalam akhbar dan majalah di negara kita. Diberikan beberapa contoh pemakaian kata parkir dalam akhbar dan majalah berbahasa Melayu di bawah:

  1. IATA berkata demikian bagi menjawab laporan baru-baru ini yang menyebut MAHB sebagai berkata bahawa bayaran mendarat dan parkir di lapangan-lapangan terbang di Malaysia tidak dinaikkan sejak 25 tahun lalu dan merupakan yang terendah di rantau ini.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Oktober

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *