Ilmu Kepengarangan yang Dikesampingkan (Bahagian 1)

Oleh Nawi Ismail

    Karangan bukanlah perkara baharu, khususnya bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM, apatah lagi bagi calon STPM. Lagipun, sebelum berada pada peringkat menengah atas, bermacam-macam jenis karangan sudah dihasilkan. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu kepengarangan dan latihan menulis karangan mula diperkenalkan kepada pelajar sejak mereka di sekolah rendah dan seterusnya dilanjutkan di sekolah menengah. Namun begitu, pelbagai kelemahan jelas terdapat dalam kebanyakan karangan pelajar. Antara kelemahan tersebut, termasuklah kegagalan pelajar mempersembahkan isi karangan.

    Sila baca perenggan karangan Pelajar X di bawah ini yang menulis karangan tentang faktor penglibatan remaja dalam kegiatan merosakkan harta benda awam atau vandalisme.

Pelajar X

 

Sudah terang lagi bersuluh, ironinya pengaruh rakan sebaya menjadi faktor perdana. Marcapada ini, faktor berlakunya vandalisme adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya yang seusia dengan remaja. Pada detik dan ketika inilah remaja suka memilih rakan. Namun ada remaja yang tersilap langkah. Remaja tersilap  dalam memilih rakan sebaya. Lantas mereka terpengaruh dengan rakan sebaya yang terlibat dengan vandalisme. Ibu bapa juga tidak harus membiarkan anaknya melakukan apa sahaja kerana sibuk dengan kerjaya. Oleh itu, remaja tidak harus mengikut perbuatan rakan sebaya yang melakukan vandalisme. Ingatlah sebelum nasi menjadi bubur, beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Jangan kita menyesal kemudian kerana sesal kemudian tidak berguna.

 

Bagi penulis, Pelajar X mempunyai keupayaan untuk menghasilkan karangan yang baik. Rasional penulis ialah pelajar tersebut mempunyai idea, memiliki kosa kata yang banyak, dan mempunyai pengetahuan tentang peribahasa untuk dimanfaatkan dalam karangan, Meskipun begitu, persembahan isi seperti di atas menggambarkan dua kemungkinan, sama ada Pelajar X tidak mendapat bimbingan yang betul atau pelajar berkenaan sengaja tidak mengamalkan ilmu kepengarangan yang dicadangkan oleh guru BM.

Isi yang dikemukakan oleh Pelajar X dalam perenggan di atas ialah pengaruh rakan sebaya sebagai punca penglibatan remaja dalam kegiatan vandalisme. Isi tersebut adalah tepat dan tidak wajar dipertikaikan. Untuk menghuraikan isi tersebut dengan betul, Pelajar X seharusnya menjawab soalan bagaimana atau mengapa remaja dipengaruhi oleh rakan sebaya sehingga turut sama melakukan perbuatan merosakkan harta benda awam.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Oktober

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *