Program LADAP Mentransformasikan Pendidikan Bahasa Melayu Abad ke-21

Oleh Ezwafahmey Ahmad Kusaini

    Pada 17 Ogos 2016 yang lalu, seramai 150 orang peserta telah hadir bagi mengikuti Program Latihan dalam Perkhidmatan (LADAP) Memperkasa dan Mentransformasikan Pendidikan Bahasa Melayu Abad ke-21 yang diadakan di Dewan Budiman, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. Program LADAP ini dianjurkan oleh para pelajar sarjana dan doktor falsafah Pendidikan Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, UKM dan mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat serta ketuaketua panitia Bahasa Melayu sekolah menengah dan sekolah rendah Daerah Hulu Langat.

    Prof. Dr. Zamri Mahamod yang merupakan penasihat program LADAP ini berkata, “matlamat utama program LADAP ini adalah untuk menyediakan platform terbaik untuk para peserta dalam mencetuskan idea secara kreatif dan kritis bagi menangani isu-isu dan cabaran pendidikan pada abad ke-21. Program LADAP ini juga bermatlamat untuk menggalakkan perkongsian ilmu dalam kalangan guru dan siswazah bagi menghasilkan kajian dan penyelidikan yang lebih berkualiti khususnya dalam bidang pendidikanBahasa Melayu.”

     Segala permasalahan dan isu terkini mengenai pendidikan Bahasa Melayu bakal memberi sumbangan ke arah penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran guru dari semasa ke semasa. Justeru, bengkel yang julung kalinya diadakan ini bukan sahaja para peserta dapat berkongsi maklumat dengan guru-guru, malahan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat juga dapat mengambil tindakan susulan mengenai isu-isu terkini yang telah dibincangkan oleh para pembentang kertas kerja tersebut.

    Pemikiran semula pendidikan Bahasa Melayu pada abad ke-21 dirasakan perlu dalam usaha untuk merealisasikan transformasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025). Oleh itu, perkongsian dalam program LADAP ini akan memberi pendedahan dan pengetahuan baharu kepada guru-guru Bahasa Melayu tentang transformasi yang terdapat dalam pendidikan Bahasa Melayu. Selain itu, perkongsian dalam bentuk hasil penyelidikan tentang amalan terbaik dan inovasi terkini dalam pendidikan Bahasa Melayu yang merangkumi pelbagai aspek seperti kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, penilaian dan pentaksiran dapat dikongsi dalam program LADAP ini.

    Program LADAP ini yang bermula jam 9.00 pagi telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Izham Mohd Hamzah, Timbalan Dekan Akademik Fakulti Pendidikan UKM. Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menyokong penuh pelaksanaan program LADAP ini bagi menyemai budaya perkongsian kajian dalam diri para pelajar pascasiswazah UKM. Turut hadir dalam program LADAP ini termasuklah En. Mohd Hamsar Mohd Noor, Penolong PPD Pendidikan Islam Daerah Hulu Langat, Dr. Maskiah Masrom, Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Encik Ahmad Kamal Idris, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Puan Rosni Adnan, Penolong PPD Bahasa Melayu Daerah Hulu Langat, Puan Fatimah Sepuan, Puan Norziah Amin, Encik Mohd Zaki Abd Rahman dan Encik Mohd Pauzi Ab. Raof, dari Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat.

     Forum akademik bertajuk “Merekayasa Semula Pendidikan Bahasa Melayu Abad ke-21” juga telah diadakan pada hari berkenaan. Forum ini dibarisi oleh tiga orang ahli panel, iaitu Dr. Maskiah Masrom, Encik Ahmad Kamal Idris dan Puan Fatimah Sepuan yang dipengerusikan oleh Dr. Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad, pensyarah Fakulti Pendidikan UKM. Perbincangan dalam forum akademik ini lebih berfokuskan isu dan cabaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara agar dapat memacu kecemerlangan dalam kalangan murid yang berbilang bangsa dan budaya. Selain itu, peranan yang dimainkan oleh guru-guru Bahasa Melayu amat penting dalam mencorakkan kegemilangan dan keberkesanan penggunaan Bahasa Melayu dalam konteks ilmiah di sekolah.

Berita ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Oktober

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *