Kemampuan Bahasa dalam Pembangunan

      No Comments on Kemampuan Bahasa dalam Pembangunan

Oleh Siti Nur Hidayah Othman Bakar

     Seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara. Hal ini menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang melambangkan jati diri bangsa dan alat untuk menyatupadukan bangsa Malaysia yang berbilang kaum. Bahasa Melayu turut menjadi satu unsur budaya yang dikongsi oleh rakyat Malaysia untuk berkomunikasi.

    Walau bagaimanapun, selepas 59 tahun negara mencapai kemerdekaan, masih ada rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu. Keadaan ini amat membimbangkan kerana roh bahasa Melayu belum menyerap sepenuhnya dalam sanubari warga Malaysia. Tambahan pula, slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” kurang dihayati dalam kalangan masyarakat di negara ini terutama golongan muda. Trend ini secara perlahan-lahan mampu mengikis keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Keistimewaan bahasa Melayu seolah-olah hanya wujud di atas kertas sahaja.

    Sejarah dan dasar sesebuah negara banyak mempengaruhi perkembangan bahasa. Akibat daripada sejarah migrasi dan juga dasar yang direncanakan, terdapat beberapa negara yang menggunakan lebih daripada satu bahasa iaitu sama ada secara bilingual ataupun multilingual seperti yang berlaku di Singapura yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, manakala bahasa Inggeris pula sebagai bahasa utama. Implikasi daripada penguasaan satu atau lebih bahasa mungkin berbeza-beza bergantung pada saiz dan kekuatan sesebuah negara.

    Negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) pula merupakan sebuah negara monolingual atau yang menguasai dan mengamalkan satu bahasa sahaja, namun hal berkenaan bukanlah merupakan isu besar. Hal ini dikatakan demikian kerana sekalipun monolingual, AS merupakan antara negara terkaya dan terkuat di dunia. Pada masa yang sama, tidak dinafikan penguasaan bahasa Inggeris telah menjadi alat pertuturan mereka yang berkembang ke seluruh dunia.

     Setiap negara menggunakan bahasa sendiri dalam pembinaan tamadun. Bahasa ibunda sentiasa diutamakan berbanding bahasa lain dalam urusan seharian. Sebagai contoh, negara Perancis dan Jerman menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tetapi tidak digunakan secara meluas melainkan semasa berinteraksi dengan pelancong dari luar atau dengan orang yang hanya tahu berbahasa Inggeris. Perlu diingatkan bahawa setiap negara maju seperti Jerman, Perancis, dan Itali memanfaatkan penggunaan bahasa ibunda dengan sebaik-baiknya sehingga muncul antara kuasa besar yang disegani.

    Hakisan secara beransur-ansur penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi turut dikaitkan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam filem dan lagu apabila isu bahasa menjadi perdebatan hangat di FFM28 (Festival Filem Malaysia Ke-28) baru ini. Filem Ola Bola dicalonkan bagi kategori “Filem Terbaik Bukan Bahasa Melayu” mengundang kekecohan sebilangan penggiat filem tempatan. Situasi ini tidak sepatutnya berlaku dalam usaha untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ke arah membina bangsa Malaysia yang maju. Tidak seperti penggiat seni di China yang sentiasa mendaulatkan bahasa Mandarin dan budaya mereka dalam filem seperti Kung Fu Hustle, Shaolin Soccer dan sebagainya. Walaupun mereka terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum, namun mereka giat berusaha untuk menonjolkan bahasa mereka di mata dunia. Oleh hal yang demikian, masalah ini perlu ditangani dengan kemampuan semua pihak dalam usaha untuk mengintelektualkan masyarakat bagi mendaulatkan penggunaan bahasa rasmi di negara ini. Anjakan paradigma perlu dilakukan dengan lebih inovatif demi mengangkat nilai bahasa kebangsaan.

    Di negara Itali, masyarakat di sana mengagungkan bahasa Itali dalam semua bidang sehinggakan pelancong luar yang ingin memasuki negara tersebut perlu belajar bahasa asas Itali kerana negara itu menggunakan satu bahasa sahaja. Bagi negara Jepun pula, teknologi yang direka cipta banyak menamakan jenama ciptaannya dengan bahasa negara sendiri seperti
Panasonic, National, Suzuki dan Kawasaki. Begitu juga dengan negara Korea yang setanding dengan negara antarabangsa lain dalam bidang teknologi telekomunikasi. Sebagai contoh, jenama Samsung sentiasa melakukan penambahbaikan pengeluaran telefon pintar seperti Iphone, Sony, HTC, LG, dan Blackberry.

    Situasi lain turut berlaku apabila melibatkan majlis penganugerahan yang berlangsung di negara kita. Semasa Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 yang lalu, sebilangan pemenang memberikan ucapan yang diselangi dengan perkataan Inggeris. Ungkapan terima kasih yang lembut dan sopan ditukar dengan ucapan thank you. Perkataan ”terima kasih” turut kurang mendapat tempat dalam kalangan pengacara tertentu dan penggiat seni berbangsa Melayu. Oleh hal yang demikian, langkah pengayaan bahasa perlu dilakukan dari semasa ke semasa melalui penggunaan bahasa yang betul untuk menjamin pengukuhan bahasa itu sendiri dalam segenap aspek.

    Dunia yang kian mencabar telah merobek jati diri serta penguasaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Masyarakat terlalu mudah menyerap unsur luar seperti penggunaan bahasa atau budaya lain yang menyimpang daripada identiti negara. Menyedari hakikat tersebut, masyarakat tidak perlu mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pertuturan kerana Jepun, Korea, Jerman dan Itali membuktikan bahawa mereka mampu mengembangkan teknologi masing-masing dengan mengutamakan bahasa ibunda.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Oktober

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *