Kata Ganda Berima dan Cara Penggunaannya

      No Comments on Kata Ganda Berima dan Cara Penggunaannya

Oleh Mohd Yunus Shahrum

     Kata ganda ialah perkataan yang mengandungi komponen yang berulang yang menggambarkan makna jamak. Kata ganda berima merupakan golongan kata ganda yang seakan-akan berima atau sebahagian komponennya mempunyai sebutan yang sama. Seperti perkataan gotong-royong, bukit-bukau dan huru-hara.

     Secara formalnya, definisi kata ganda berima ialah segolongan kata yang dibentuk
melalui proses pengulangan kata akar dengan mengalami perubahan sama ada pada
susunan konsonan, vokal mahupun suku kata. Antara kata akar dengan ulangannya
(gandaannya)mempunyai ciri-ciri persamaan rima, bunyi dan sebutan; yang wujud
hasil persamaan vokal, konsonan, suku kata ataupun persamaan yang lain. Persamaan
ini menjadikannya seakan-akan berima atau berentak.

    Kata ganda berima boleh dibahagikan kepada tiga jenis utama mengikut
struktur morfologi (pembentukan kata). Jenis pertama ialah kata ganda berima
yang berbentuk pengulangan konsonan. Jenis ini meliputi contoh perkataan seperti
huru-hara, tindak-tanduk, asal-usul dan dentam-dentum. Dalam golongan kata ini
hanya huruf konsonan saja yang berulang, manakala kesemua atau kebanyakan
huruf vokalnya berubah.

    Kata ganda berima jenis kedua ialah kata ganda berima berbentuk
pengulangan vokal. Kata ganda berima jenis ini merangkumi contoh perkataan
seperti gotong-royong, karut-marut, cerai-berai dan sayur-mayur. Kesemua huruf
vokal dalam setiap contoh tersebut mengalami pengulangan, manakala huruf
konsonannya pula berubah kesemuanya atau sebahagiannya.

    Jenis ketiga pula ialah kata ganda berima yang mengalami pengulangan suku
kata. Dalam golongan ini, berlaku pengulangan yang berima, tetapi tidak dapat
digolongkan dalam pengulangan konsonan atau pengulangan vokal. Contohnya
bukit-bukau, hina-dina, dan jongkang-jongket. Dalam kata bukit-bukau, hanya
‘buk-‘ yang didapati berulang tetapi huruf lain berubah (pengulangan keseluruhan
huruf konsonan mahupun vokal tidak berlaku). Akan tetapi, oleh sebab “buk-” tidak
dapat dianggap suatu unit, maka yang terhampir ialah mengkelaskannya sebagai
pengulangan suku kata, iaitu “buk-”.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran Oktober

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *