Kata Ganda Penuh Bahasa Melayu Berdasarkan Data Korpus

Oleh Farhan Haziq

    Kata ganda atau juga dikenali nama kata ulang ialah bentuk kata yang dihasilkan melalui proses menggandakan kata dasar. Penggandaan ini boleh melibatkan seluruh atau sebahagian kata dasar. Kata dasar juga boleh digandakan secara berentak (dengan perubahan bunyi tertentu baik vokal mahupun konsonan.

    Penggandaan yang melibatkan seluruh kata dasar dipanggil penggandaan penuh dan akan
menghasilkan kata ganda penuh, seperti rumah-rumah,main-main, dan pekerja-pekerja; manakala penggandaan yang melibatkan sebahagian kata dasar dipanggil penggandaan separa dan akan menghasilkan kata ganda separa, seperti lelakisesungut, pertama-tama, dan segala-gala.

    Penggandaan yang berlaku secara berentak pula akan menghasilkan kata ganda berentak. Dalam penggandaan ini, kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu (vokal atau konsonan) diulang atau diubah, contohnya sayur-mayur, bolak-balik, dan saudara-mara.

   Pangkalan Data Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau Korpus DBP pula merupakan program yang digerakkan seawal tahun 1993 dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM). Korpus ini merupakan korpus digital bahasa Melayu yang dibina oleh DBP untuk kemudahan pengguna bahasa melakukan penyelidikan bahasa Melayu. Sehingga bulan Ogos 2016, pangkalan data ini telah mengumpulkan lebih daripada 105 juta leksikal daripada pelbagai genre yang telah diformat, dirakam dan disimpan secara berstruktur. Antara genre tersebut termasuklah akhbar, majalah, dan buku.

    Berdasarkan data korpus, kata ganda penuh bahasa Melayu dapat dibahagikan kepada tiga bentuk utama hasil daripada proses penggandaan kata dasar tunggal, kata terbitan atau berimbuhan, dan kata majmuk.

Penggandaan Penuh Kata Tunggal
Penggandaan penuh kata tunggal ialah penggandaan yang melibatkan keseluruhan kata tunggal. Contohnya dapat dilihat dalam jadual berikut:

Jadual 1 Penggandaan penuh kata dasar.

Kata Dasar Kata Ganda
(1) aspek aspek-aspek
(2) jenis jenis-jenis
(3) karya karya-karya
(4) besar besar-besar
(5) indah indah-indah
(6) jauh jauh-jauh
(7) apa apa-apa
(8) mana mana-mana

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa dari Keluaran Oktober

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *