Kata Kerja Semitransitif

      No Comments on Kata Kerja Semitransitif

Oleh Muhammad Norrudin Abdul Aziz

     Dalam tatabahasa bahasa Melayu, kata kerja terbahagi kepada dua, iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif memerlukan objek selepasnya manakala kata kerja tak transitif pula lazimnya diikuti pelengkap atau tanpa pelengkap. Kedua-dua jenis kata kerja ini tidak dihuraikan kerana pengguna bahasa sudah menguasai aspek ini. Dalam korpus, terdapat satu lagi jenis kata kerja yang kurang dititikberatkan, iaitu kata kerja semitransitif.

     Kata kerja semitransitif ialah kata kerja yang mempunyai dwifungsi, iaitu yang dapat berfungsi sebagai kata kerja transitif atau kata kerja tak transitif bergantung pada ayat. Ayat yang mengandungi kata kerja semitransitif tidak dikenali sebagai ayat semitransitif. Hal ini dikatakan demikian kerana kata kerja tersebut mempunyai fungsi sebagai kata kerja transitif jika ada objek, atau kata kerja tak transitif jika objek ditiadakan. Kehadiran objek menentukan kata kerja semitransitif menjadi ayat aktif transitif atau ayat aktif tak transitif.

Hal ini dapat diperhatikan melalui ayat yang berikut:
1. Salleh sedang makan.
2. Murid itu menulis dengan cepatnya.
3. Kakak sedang memasak.
4. Cikgu Fairuz Hanna mengajar di kelas 4 Amanah.
5. Beliau menyanyi di atas pentas itu.
6. Ameera Nasha suka menari.

Sila bandingkan pula ayat 1-6 dengan ayat di bawah ini:
1(a). Salleh sedang makan nasi ayam.
2(a). Murid itu menulis nota dengan cepatnya.
3(a). Kakak sedang memasak gulai ayam.
4(a). Cikgu Fairuz Hanna mengajar murid di kelas 4 Amanah.
5(a). Beliau menyanyikan lagu Bunga Seroja di atas pentas itu.
6(a). Ameera Nasha suka menari tarian zapin.

    Pengguna bahasa tentu beranggapan bahawa ayat 1-6 tidak gramatis kerana mengikut rumus tatabahasa bahasa Melayu, kata kerja transitif perlu diikuti oleh objek daripada kata nama atau frasa nama seperti ayat 1(a) hingga ayat 6(a). Walau bagaimanapun, pengguna bahasa yang memahami rumus tatabahasa tentu sudah dapat mengagak maksud kata kerja seperti makan, menulis, memasak, mengajar, menyanyi dan menari. Di samping itu, yang hendak ditekankan dalam ayat ialah kata kerja yang tidak khusus kepada objek. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa kesempurnaan makna ayat wujud dalam ayat 1 hingga 6. Hal ini pernah dijelaskan oleh Za’ba dalam Pelita Bahasa Melayu Penggal 1, iaitu kata perbuatan (kata kerja) yang tanpa objek dinamakan perbuatan nama. Kata kerja ini sebenarnya menunjukkan perbuatan kerana maknanya membawa maksud gambaran tingkah laku tetapi bersama-sama makna perbuatan itu terkandung di dalamnya nama dan berfungsi sebagai nama.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran Oktober

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *