Filem Berbahasa Kebangsaan Identiti Kita

      No Comments on Filem Berbahasa Kebangsaan Identiti Kita

Oleh Naurah Zahra

Walaupun sekadar menyaksikan perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki di depan kaca televisyen pada 20 Ogos 2016, namun debaran yang dirasakan begitu kencang kerana Malaysia menyandarkan harapan pada Dato’ Lee Chong Wei untuk mendapatkan pingat emas pertama negara. Sungguhpun begitu, penantian emas terpaksa dilupakan dalam persaingan tersebut apabila pemain China, Cheng Long meranapkan impian kontinjen negara. Namun begitu, pujian harus diberikan kepada Dato’ Lee Chong Wei yang sedaya upaya mempamerkan persembahan bertenaga.

Walaupun hanya berbeza beberapa kutipan mata, harus diingat bahawa kutipan mata itulah yang membezakan pemenangnya. Permainan yang sengit tanpa jurang mata yang besar membuatkan kita sedar bahawa perbezaan satu mata sekalipun mengakibatkan kita tidak berada dalam keadaan tidak selesa. Itulah penangan perlawanan akhir yang menentukan pemenang pingat emas mahupun perak.

Begitulah kenangan yang masih diingati dalam Sukan Olimpik di Rio, Brazil. Pemisahan mata merupakan ukuran kepada pemenang dalam lapangan sukan. Bezanya, dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu, kita seolah-olah kelihatan bertolak ansur dengan bahasa bahasa lain. Bukan sekali kita terpaksa tunduk kepada bahasa asing, malah sudah berkali-kali kita terpaksa memberikan laluan kepada bahasa lain. Moto yang diperkenalkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), iaitu “Filem Kita, Wajah Kita” tidak perlu dijelaskan secara terperinci kepada semua penggiat filem kerana mereka sendiri mempunyai ketajaman akal untuk menterjemahkan maksud frasa itu. Namun begitu, agak mengecewakan apabila sebahagian penggiat filem mengambil tindakan mengecam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 hanya kerana kecewa dengan keputusan penganjur dalam isu segregasi. FFM ke-28 berdepan dengan isu berkaitan kategori yang diasingkan mengikut bahasa bukan Melayu, iaitu Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik. Situasi yang berlaku agak mengecewakan apabila isu segregasi itu turut dikaitkan dengan masalah rasis.

Filem Jagat arahan Shanjhey Kumar Perumal misalnya mendapat sembilan pencalonan, iaitu enam pencalonan bagi kategori terbuka dan tiga pencalonan lagi diletakkan dalam kategori Filem Terbaik Bukan dalam Bahasa Melayu. Berbeza daripada segelintir penggiat filem yang bertekad memboikot FFM pada tahun ini, Sivanantham Perianan, iaitu penerbit eksekutifnya bersama sama pengarah filem terbabit mengambil keputusan untuk tetap menyertai anugerah tahunan industri perfilemanitu lantaran mereka berpandangan bahawa pencalonan Jagat merupakan satu pengiktirafan dan pencapaian peribadi tertinggi mereka.

Keputusan mereka menggambarkan profesionalisme mereka dalam industri perfileman negara. Lebih- lebih lagi, perjuangan mereka dalam industri diserlahkan dengan hasil gerak kerja yang teliti dan kemas. Turut tersenarai dalam kategori itu termasuklah Ola BolaThe Kid From The Big AppleMaravan dan Huat The Fish. Bagi kategori pengarah dan filem terbaik keseluruhan pula diwakili oleh filem Jejak Warriors, Rembat, Munafik dan Love Supermoon.

Pada masa yang sama, pelakon dan penerbit Afdlin Shauki pula meluahkan kekecewaannya menerusi akaun instagram miliknya dengan memuat naik status “Minta maaf tahun ini saya boikot FFM”. Jelas Afdlin, hasil seni yang diterjemahkan melalui bahasa itu tidak penting kerana penggunaan bahasa merupakan perkara kedua dalam pembuatan filem. Afdlin turut berpendapat bahawa sekiranya sesebuah filem itu mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa, bukanlah bahasa Melayu yang mendapat nama, sebaliknya nama Malaysia yang memperoleh pengiktirafan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Oktober 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *