Kemelut Bahasa dalam FFM

      No Comments on Kemelut Bahasa dalam FFM

Oleh Sakinah Shawati

Bukan sesuatu yang luar biasa apabila industri perfileman menjadi salah satu tunjang ekonomi sesebuah negara. Di Amerka Syarikat (AS), industri tersebut berkembang pesat dengan memperkenalkan pelbagai teknologi dalam perfileman. Maka, tidak hairanlah industri filem Hollywood berada jauh di hadapan pesaing industri ini dalam segenap hal, mutu dan teknologi filem.

Pulangan ekonomi yang luar biasa menyaksikan banyak negara berlumba-lumba menjadi peneraju industri perfileman. Pada tahun 2015, di AS, lebih 500 buah filem berjaya dihasilkan. Namun begitu, jumlah tersebut berjaya dipintas oleh India apabila negara filem Bollywood itu menghasilkan lebih daripada 500 filem dalam tempoh setahun dan kini berusaha menghasilkan 1000 filem pada setiap tahun.

Kebangkitan industri perfileman dunia ditambah lagi dengan keghairahan Korea menghasilkan filem romantik bersiri yang menjadi kegilaan peminatnya bukan sahaja melanda kebanyakan negara di Asia, malah turut menembusi pasaran perfileman di Barat. Menyedari akan pulangan besar yang mampu diraih dalam industri ini, Kerajaan Korea menyuntik dana yang besar bagi membangunkan industri perfileman agar setanding dengan mutu filem di Hollywood. Hal yang demikian juga dengan Vietnam yang turut “bangkit” membawa transformasi dalam industri perfileman negara tersebut. Hal ini disedari banyak penganalisis yang merumuskan bahawa mutu filem negara membangun itu ternyata setanding dengan kebanyakan negara maju.

Dalam usaha memastikan industri perfileman sentiasa berdaya saing, banyak negara bertindak mengiktiraf kerja keras pembuatan filem dan karya yang mereka hasilkan. AS ternyata mendahului dengan memperkenalkan Anugerah Akademi atau Oscar, iaitu anugerah tahunan Akademi Sains dan Seni Perfileman (A.M.P.A.S) yang bertujuan mengiktiraf kecemerlangan industri filem di Hollywood. Anugerah ini pertama kali diadakan pada tahun 1929, di Hotel Hollywood Roosevelt.

Oscar pertama kali disiarkan melalui radio pada tahun 1930 dan mula disiarkan di televisyen pada tahun 1953. Pada hari ini, Oscar disiarkan secara langsung di lebih 200 buah negara. Begitu juga apabila Bollywood memperkenalkan Anugerah Filem Terbaik yang berlangsung pada setiap tahun, bahkan tidak ketinggalan Korea dengan Anugerah Filem Korea yang turut mengiktiraf industri perfileman di negara tersebut.

Malaysia juga tidak terkecuali. Perkembangan industri perfileman negara pada hari ini boleh dibanggakan apabila lebih banyak filem bermutu dihasilkan dan semakin banyak pembuatan filem tampil memeriahkan industri perfileman Malaysia. Lebih membanggakan lagi, lahir pengarah muda yang berbakat dengan hasil karya yang cukup mengujakan penonton. Mereka tanpa gentar keluar daripada kotak filem Malaysia dengan memperkenalkan pelbagai elemen dan genre, malah tanpa gentar berani mempertaruhkan belanja yang besar untuk menghasilkan filem. Hasilnya, industri menyaksikan banyak filem yang menembusi carta pecah panggung dengan kutipan melebihi 10 juta, antaranya Ola Bola (RM15 juta), Munafik (RM17 juta), Boboiboy (RM15 juta), Polis Evo (RM17 juta), dan The Journey (RM17 juta). Jumlah kutipan sebanyak ini tidak pernah diraih sebelumnya dan kejayaan ini membuktikan bahawa industri perfileman negara kini berada pada landasan yang tepat untuk terus bersaing.

Transformasi dunia perfileman Malaysia cukup besar. Sekitar 10 tahun yang lalu, kebanyakan pawagam di negara ini sunyi daripada penonton. Namun begitu, kepercayaan tersebut berjaya dibina semula apabila pada saban tahun bukan sedikit filem berkualiti yang berjaya dihasilkan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Oktober

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *