Mengulang Lagu yang Sama

      No Comments on Mengulang Lagu yang Sama

Oleh Mohammad Abdul Wahab bin Abdul Yacob

     Menghampiri enam dasawarsa kemerdekaan, tiada lagu baharu yang dinyanyikan. Lagu Tanggal 31 dan Warisan disiarkan berulang kali di radio, televisyen malah menjadi lagu pilihan dalam pelbagai pertandingan koir sekolah rendah dan menengah. Walaupun ada lagu baharu, sememangnya tidak sama. Semangat patriotisme tidak menjelma dalam lirik mahupun irama lagu. Meskipun demikian, ada yang berpendapat semangat patriotisme tidak mungkin dapat diukur atau dipamerkan. 

     Perjuangan bahasa turut menerima nasib yang sama. Setiap tahun, “lagu” yang sama dinyanyikan. Bahasa Melayu tidak berada di tempat yang sepatutnya, tidak dimartabatkan, malah telah berlaku usaha mengetepikan bahasa kebangsaan ini dalam sistem pendidikan negara. 

     Di luar situasi rasmi, nasib bahasa Melayu agak membimbangkan. Di pinggir bandar raya Kuala Lumpur, kawasan perumahan dan kompleks beli-belah baharu muncul satu demi satu. Situasi yang berlaku amat mengecewakan apabila kawasan perumahan dan kompleks beli-belah ini tidak melambangkan dengan citra kebangsaan. Terkini, kata “residensi” menjadi pilihan menggantikan kata “perumahan” dan kata “mall” menggantikan kata “pusat beli-belah”. 

     Peniaga kecil-kecilan juga tidak terkecuali dari tempias kepincangan ini. Di sana sini, muncul gerai makanan dan minuman ringan yang diberi nama ala Inggeris. Gerai kopi misalnya, menamakan gerai mereka dengan kata coffee dan menyediakan pilihan perisa chocolate, black, white, mocha, dan Americano. Selain kopi, teh juga menjadi mangsa alih bahasa kerana peniaga menyediakan green tea dan lime tea. Pada masa yang sama, peniaga kelihatan terpinga-pinga apabila diminta menyediakan kopi putih atau teh hijau. Ternyata, kata nama ala Inggeris ini menjadi gaya hidup terkini golongan di bandar besar.

     Anjakan paradigma bukan bermaksud beranjak dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Kita harus berdiri dengan “kecantikan asli” dan “keayuan wajah tradisi”. Perumpamaan ada menyebut “ukur baju di badan sendiri”. Hal tersebut bukanlah bermaksud kebanggaan akan tradisi ini menjadikan kita statik, berdiri bagai tugu, berpuas hati dengan apa yang kita ada. Kita ukur baju yang hendak kita pakai agar kita tahu cukup atau tidak kain yang diperlukan. Kita memilih kain yang hendak dibuat potongan baju agar kita selesa memakainya sepadan dengan iklim di kawasan kita. Kita memilih warna dan coraknya agar pemakaiannya kelak sesuai dengan majlis yang dihadiri. Barulah baju yang siap itu elok terletak, tidak singkat dan tidak jarang. Malah si pemakai kelihatan lebih terampil lagi wibawa, terserlah budi dan anggun sifatnya.

     Kita masih mengulang rintih yang sama. Walaubagaimanapun sebagai rakyat yang berdiri atas semangat nasionalisme kita tidak boleh berhenti berharap. Kita bulatkan tekad dalam memasang impian supaya bahasa kebangsaan digunakan sepenuhnya dalam acara rasmi, selain mampu menguasai papan tanda di seluruh negara dan megah dituturkan dalam wacana rakyat jelata. Kita mahu mendendangkan lagu baharu sekali gus lagu  berbangga akan bahasa yang melambangkan jiwa bangsa.

Hulu Kelang, Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *