Mendaulatkan Bahasa Tanpa Kontroversi

      No Comments on Mendaulatkan Bahasa Tanpa Kontroversi

 

“Janganlah kerana inginkan hak yang sama rata, kita membiarkan fikiran kita kelihatan kecil. Jika benar anda cinta dan sayang akan negara, turutkan sahaja keputusan yang telah dibuat. Saya pun boleh buat filem berbahasa Tamil, tetapi saya akan bertanding dalam kategori bukan bahasa Melayu. Jadi, mengapakah kita menjadikan hal ini begitu sukar?”

Begitulah kata-kata pelakon dan pengarah berpengalaman, Ellie Suriati yang lantang bersuara tentang hak karya berbahasa kebangsaan dalam satu majlis anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) baru-baru ini. Khabarnya kebanyakan penggiat industri perfileman bertepuk sorak dan menyokong saranan Ellie yang berani menyatakan pendiriannya selepas penganjuran Festival Filem Malaysia ke-28 terpalit dengan kontroversi isu pengasingan kategori bagi filem dan pengarah terbaik.

Ellie berpendapat bahawa semua pihak perlu menghormati bahasa kebangsaan dalam karya untuk bertanding dalam FFM ke-28 kerana bagi beliau bukanlah menjadi suatu kesulitan yang besar untuk mengikut apa-apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ternyata, saranan Ellie itu disokong oleh pelbagai pihak yang melihat penggiat seni perlu mendahulukan bahasa kebangsaan dalam karya jika hendak sesesuatu karya tersebut diangkat sebagai karya Malaysia.

Sudah menjadi lumrah apabila sesuatu pertandingan yang berlaku di negara ini sentiasa terpalit dengan kontroversi. Adakalanya kontroversi yang melanda seolah-olah dicipta untuk menghangatkan suasana. Perdebatan yang timbul dalam FFM edisi ke 28 ini berlaku gara-gara kategori utamanya terbahagi kepada dua, iaitu Filem Terbaik Bahasa Melayu dan Filem Terbaik Bukan Bahasa Melayu diperkenalkan. Sebilangan penggiat filem tidak berpuas hati dan menganggap pembahagian kategori tersebut sebagai rasis dan tidak seiring dengan konsep 1Malaysia.

Menurut Persatuan Penerbit Filem Malaysia, (PFM), syarat utama penganugerahan pada kali ini adalah bertujuan memartabatkan bahasa kebangsaan dalam filem tempatan, sekali
gus mendaulatkan bahasa kebangsaan. Polemik tersebut akhirnya terlerai apabila FINAS memutuskan untuk memperkenalkan Anugerah Filem Terbaik Nasional dan Anugerah Filem Terbaik Malaysia yang merupakan kategori utama dalam FFM pada kali ini. Keputusan tersebut diperoleh selepas perbincangan bersama-sama diadakan antara Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia dengan PFM, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Seniman serta Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) pada 16 Ogos lalu. Pengerusi FINAS, Datuk Mohd. Khushairi Abdul Talib berkata, penjelasan berkaitan mekanisme baharu FFM dilakukan selaras dengan pemansuhan kategori Filem, Pengarah, dan Lakon Layar Terbaik bagi kategori filem bukan dalam bahasa Melayu.

Sejak kebelakangan ini, adakah kita sedar bahawa bahasa Inggeris telah dijadikan dialog dalam filem atau drama terbitan tempatan? Mengimbas kembali penerbitan drama di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) suatu ketika dahulu, RTM begitu tegas dengan penggunaan bahasa kebangsaan sepenuhnya dalam drama siaran mereka sehinggakan istilah bahasa Inggeris seperti I, You, Why, Yes dan sebagainya tidak boleh digunakan langsung sebagai dialog dalam drama Melayu. Walau bagaimanapun, situasi kini kian berubah apabila banyak kemunculan stesen televisyen swasta menyiarkan drama Melayu dengan dialog yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sehinggakan stesen milik kerajaan juga turut mengejar kedudukan kerana mungkin bimbang kehilangan penonton setia. Baik RTM mahupun stesen televisyen swasta, mereka seolah-olah membenarkan penggunaan dialog bahasa rojak dalam drama Melayu yang disiarkan pada masa ini.

Jika hal tersebut yang menjadi ukuran, bagaimana pula dengan penerimaan masyarakat terhadap karya malar segar Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang tidak pernah menggunakan dialog bahasa Inggeris dalam senarai filem arahan dan terbitannya? Malah sehingga kini karya beliau sentiasa ditonton tanpa jemu oleh semua golongan tanpa mengira bangsa walaupun menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Oleh hal yang demikian, kedudukan bahasa Melayu itu sendiri perlu dinilai terlebih dahulu sebelum mempertikaikan keputusan yang sudah dilakukan. Pendekatan yang konklusif di samping penguatkuasaan yang efektif oleh pelbagai pihak perlu dilakukan secara berterusan dalam usaha memperkasakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kedudukan bahasa Melayu tidak perlu dipolemikkan setiap kali munculnya majlis penganugerahan. Jika Anugerah Industri Muzik (AIM) boleh mengasingkan kategori Lagu Terbaik Bukan Bahasa Melayu yang dinyanyikan oleh penyanyi Indonesia di negara ini, mengapakah FFM tidak boleh mewujudkan kategori yang sama? Jika industri perfileman di negara India boleh mengamalkan pengasingan filem mengikut kategori bahasa yang pelbagai, mengapakah kita sering mengundang kekecohan apabila membabitkan isu bahasa?

Selaku penganjur FFM, FINAS tidak seharusnya goyah dengan keputusan awal yang dilakukan sebelum ini terutama apabila membabitkan soal bahasa kebangsaan. Mengapakah kemelut bahasa terus berlaku walaupun segala-galanya sudah termaktub dalam perlembagaan? Perlukah kita mengikut telunjuk daripada suara minoriti?

Sidang Editor Pelita Bahasa mengucapkan selamat meraikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2016 kepada pembaca setia dan semua rakyat Malaysia.

Abd. Kadir Mohd Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *