Uncle Jaga, Katil 20

      No Comments on Uncle Jaga, Katil 20

Oleh MK Riza

     Pada saat saya merenung matanya, dia seakan-akan mengerti yang saya mahu menilik kisah hidupnya. Dia pandang lain. Katanya, dia memandang ke luar yang bebas, melihat sepasang burung ciak berbunyi bising. Katanya lagi, ciak itu bukannya bergaduh tetapi mereka sedang bercinta. Mereka bercinta dalam riuh, ketawanya mengekek. Entah, saya sendiri tidak faham dengan apa-apa yang dia katakan itu.

     Kata Hamilton, misi beranak dua yang sudah empat tahun bertugas di situ, kadang-kadang percakapannya sangat sukar difahami. Bukan kerana gagapnya dia berkata-kata tetapi kerana ada ketikanya, kata-katanya terlalu berbunga-bunga untuk difahami oleh orang awam. Namun bagi seseorang yang berbangsa India, tutur kata dan bahasa Melayunya sangat cemerlang.

    “Barangkali dia sasterawan,” kata saya kepada Misi Halimaton suatu ketika dahulu. Kata-kata bergurau.

    “Mungkin juga,” kata saya kepada Misi Halimaton sambil menampakkan senyumnya. “Sebab saya selalu nampak dia menulis sesuatu di dalam buku.” Dijawab dalam nada serius, namun masih senyum.

    “Lihat burung itu bebas terbang,” katanya kepada saya, menghilangkan terus ingatan perbualan saya dengan misi yang gemar senyum itu.

     Saya yang sedang menyuap nasi terbantut laku seketika. Berpaling dan memandang keluar ke arah tempat yang ditujukkan dia.

    Saat saya kembali berpaling kepadanya, lantas dia menyambung. “Lihatlah, aku sudah tidak punyai kaki lagi. Tidak lagi bebas seperti burung itu.” Matanya mengarah ke arah kakinya yang sudah dipotong.

Cerpen ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran September

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *