Pantun Seni Warisan Melayu

      No Comments on Pantun Seni Warisan Melayu

Oleh Amirah Syazwani

      Suatu ketika dahulu pantun yang merupakan salah satu cabang bentuk sastera lisan mempunyai nilai yang istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu. Pantun digunakan oleh masyarakat Melayu lama sebagai alat untuk menzahirkan buah fikiran dan perasaan, selain bertindak sebagi medium untuk menyampaikan petua dan didikan kepada seseorang. Bahkan tidak keterlaluan jika disimpulkan hampir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat Melayu terungkap melaluinya. Kini, pantun tidak lagi menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat Melayu. Kebanyakan generasi muda yang hidup di alam siber menganggap penggunaan pantun sudah tidak relevan lagi. Mereka berkemungkinan tidak mengenali keindahan sastera lisan ini jika tiada tindakan yang diambil dalam usaha mempromosikannya kepada masyarakat Malaysia.

     Pantun Melayu wujud sejak 800 tahun yang lampau menurut kajian 800 tahun yang lampau menurut kajian yang dijalankan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pantun didefinisikan sebagai sejenis puisi lama biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap yang mana dua baris pertama merupakan pembayang dan yang selainnya mengandungi maksud. Amelia Hashim dalam rencananya bertajuk “Pantun Menyusur Tamadun” yang disiarkan dalam majalah Jendela Utara edisi Disember 2010 berpendapat pantun sebagai artifak dan bukti bahan kajian ketemadunan masyarkat Melayu di dunia. Manakla, menurut Moechtar Awang dalam bukunya Analisis Kritis Pantun Puisi Melayu Tradisi, pantun dapat dikelaskan berdasarkan kepada bentuk atau struktur, tema atau isi, fungsi dan penyebarannya. Melalui pengelasan inilah timbulnya pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan sebagainya.

     Peranan teknologi media dalam pembentukan identiti telah menjadi isu penting dalam kajian budaya sejak era percetakan lagi. Televisyen juga masih mempunyai pengaruh besar untuk merangsang penyertaan sosial dan politik meskipun kuasanya mula diambil alih oleh media baharu berdasarkan kajian yang dijalankan oleh sarjana di Barat. Di samping itu, terdapat juga sebilangan besar sarjana Barat telah mengkaji hubungan menonton televisyen dan pembentukan identiti.

      Kajian yang dilakukan oleh Marie Gillespie terhadap belia Punjabi di Southall, London mendapati bahawa golongan ini memahami budaya dan nilai-nilai tradisional India melalui rancangan dan filem Bollywood. Bukankah ini membuktikan bahawa pantun juga akan difahami dan dihargai oleh masyarakat jika lebih banyak rancangan televisyen berkaitan dengannya disiarkan?

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran September

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *