Majlis Perasmian Penutupan Festival Bahasa dan Sastera 2016

Oleh Siti Nur Hidayah Othman Bakar

Kuala Lumpur – Pada 2 Ogos bertempat di Auditorium DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka berlangsung Festival Bahasa dan Sastera 2016. Festival ini merupakan program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia, Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia dan Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia. Tahun 2016 merupakan tahun kelapan penganjuran program ini.

Ucapan alu-aluan telah diberikan oleh Haji Abdul Adzis bin Abas, Ketua Pengarah DBP. Beliau menjelaskan bahawa pertandingan yang diadakan sempena festival ini merupakan medan bagi para pelajar untuk mencungkil bakat yang ada pada diri mereka, selain dapat meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu. Usaha DBP ini diharap dapat mengubah tanggapan bahawa bahasa Melayu merupakan hak eksklusif dan hanya boleh dituturkan dengan baik dan betul oleh orang Melayu sahaja. Walaupun terdapat kesukaran bagi pelajar bukan Melayu untuk menggunakan bahasa Melayu dengan fasih dan lancar, dengan usaha yang gigih diharap mereka dapat menggunakan kesempatan ini semaksimum mungkin untuk memahirkan diri serta menguasai bahasa kebangsaan.

Objektif penganjuran festival ini dilakukan untuk menanamkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar bukan Melayu pada peringkat sekolah rendah dan menengah, mewujudkan dan menyediakan suasana penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta meningkatkan imej dan sinergi DBP melalui kerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta, tokoh korporat dan orang awam.

Majlis perasmian penutupan Festival Bahasa dan Sastera 2016 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia Datuk P. Kamalanathan P. Panchanathan mewakili Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Semasa menyampaikan ucapan, beliau menyatakan bahawa melalui aktiviti kebahasaan sebegini para pelajar dapat mempertajam dan memperkemas penggunaan bahasa kebangsaan mereka dalam komunikasi harian. Mereka juga dapat mempelajari sesuatu yang baharu serta berasa bangga, teruja dan sayang akan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul. Tegas beliau, untuk meningkatkan fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi dan perpaduan dalam negara ini, semua kaum perlu melibatkan diri dalam apa-apa jua aktiviti yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan. Program atau aktiviti yang dilakukan tidak hanya berfokus kepada kaum terbesar di semenanjung sahaja, malah perlu diperluaskan kepada pelbagai etnik yang terdapat di Sabah dan Sarawak.

Atur cara diserikan dengan persembahan nyanyian lagu dan gesekan viola daripada pelajar sekolah Cina, selain penyampaian hadiah kepada pemenang menerusi lima kategori acara yang dipertandingkan seperti pertandingan koir khusus untuk pelajar SMPC, pertandingan forum pelajar khusus untuk pelajar SMPC, pertandingan deklamasi puisi untuk pelajar SMPC, pertandingan bercerita khusus pelajar SJKC dan SJKT serta pertandingan pidato khusus untuk pelajar SJKC dan SJKT.

Sungguhpun terdapat keperluan untuk menguasai bahasa Inggeris, bahasa Melayu tetap mempunyai kedudukan dan kepentingannya sendiri. Sehubungan dengan itu, penganjuran festival ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang kerana mampu menyemarakkan lagi semangat perpaduan. Dalam konteks ini, penguasaan bahasa kebangsaan merupakan perkara penting yang perlu dipandang serius untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Berita ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran September

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *