Kata Hubung Berpasangan dalam Ayat Majmuk Gabungan

      No Comments on Kata Hubung Berpasangan dalam Ayat Majmuk Gabungan

Oleh Ahmad Khair Mohd Nor

Ayat dalam sesuatu bahasa boleh mengandungi satu klausa atau lebih. Ayat yang mengandungi satu klausa ialah ayat tunggal. Ayat yang mengandungi dua klausa atau lebih ialah ayat majmuk. Bagi membentuk ayat majmuk, kita sering mencantumkan beberapa ayat menggunakan kata hubung.

Dalam bahasa Melayu, ada beberapa bentuk kata hubung. Ada kata hubung bentuk tunggal, bentuk terbitan, bentuk gandaan, bentuk terpisah, dan bentuk berpasangan. Contohnya:

  1. Abang makan sambil membaca. (“sambil” kata hubung bentuk tunggal)
  2. Dia tidak akan datang melainkan dijemput. (“melainkan” kata hubung bentuk terbitan)
  3. Saya sering berdoa moga-moga datuk cepat sembuh. (“moga-moga” kata hubung bentuk gandaan)
  4. Saya akan membuktikan kemampuan saya andai kata diberikan peluang. (“andai kata” kata hubung bentuk terpisah)
  5. Jangankan saya Kamal pun tidak hadir. (“jangankan…pun…” kata hubung bentuk berpasangan)

Penggabungan beberapa ayat tunggal untuk membentuk ayat majmuk gabungan dapat dilakukan menggunakan kata hubung berpasangan, seperti ayat 5 tersebut. Kata hubung berpasangan juga dikenali sebagai kata hubung berkait.

Yang dimaksudkan dengan kata hubung berpasangan iala kata hubung yang mempunyai dua bahagian yang letaknya terpisah. Kata hubung ini terdiri daripada dua bahagian yang dipisahkan oleh satu perkataan, frasa atau klausa. Contohnya:

6. Baik Musa mahupun Amir tidak dapat mengangkat kotak itu.

7. Kita bukan sahaja perlu bersetuju tetapi juga perlu mematuhinya.

8. Daripada kita berbual-bual kosong lebih baik kita berbincang tentang pelajaran.

Dalam ayat 6, kata hubung berpasangan baik…mahupun…menggabungkan perkataan Musa dan Ali. Dalam ayat 7, frasa perlu bersetuju dan perlu mematuhinya digabungkan dengan kata hubung berpasangan bukan sahajatetapi juga…. Dalam ayat 8 pula, klausa kita berbual-bual kosong dan kita berbincang tentang pelajaran digabungkan dengan kata hubung berpasangan daripada…lebih baik

Senarai berikut merupakan contoh kata hubung berpasangan dalam bahasa Melayu:

 

baik…mahupun…

baik…atau…

baik…ataupun…

makin…makin…

semakin…semakin…

bukan sahaja…tetapi juga…

bukan sahaja…malahan…

adakah…ataupun… apakah…ataupun…

sedangkan…inikan pula…

jangankan…pun…

sama ada…atau…

sama ada…ataupun…

sungguhpun…namun…

biar…jangan…

entah…entah…

lebih baik…daripada…

daripada…lebih baik…

bagaimana…begitulah…

Daripada senarai di atas, terdapat kata hubung berpasangan yang boleh menggantikan satu sama lain, misalnya, kata baik boleh berpasangan dengan atau, ataupun dan mahupun untuk membentuk kata hubung berpasangan baik… atau… baik….ataupun… dan baikmahupun… Kata hubungan berpasangan bukan sahaja…tetapi juga… boleh menurunkan bentuk bukan sahaja…malahan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran September

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *