Akronim dan Huruf Ringkas

      No Comments on Akronim dan Huruf Ringkas

Oleh Mohd Januri Aiyub

    Penggunaan kependekan atau penyingkatan daripada serangkaian perkataan makin kerap digunakan dalam komunikasi bahasa Melayu sama ada secara lisan atau bertulis, formal atai tidak formal. Ada kependekan atau penyingkatan yang terhasil daripada serangkaian perkataan berbahasa Melayu dan ada pula yang terhasil daripada serangkaian berbahasa Inggeris. ABIM, UKM, BSN adalah antara kependekan serangkaian perkataan dalam bahasa Melayu, manakala RISDA NKRA, UTC ialah contoh kependekan daripada serangkaian perkataan berbahasa Inggeris.

     Pengguna bahasa umumnya mengenali bentuk kependekan ini hanya sebagai kata akronim. Namun begitu, ada perbezaan yang ketara apabila meneliti contoh kependekan atau penyingkatan berkenaan. Ada kependekan kata yang dilafazkan secara sempurna melalui suku kata perkataan itu seperti ABIM dan RISDA. Ada pula yang dilafazkan hanyanama-nama huruf seperti UKM, NKRA, UTC dan BSN. Oleh itu, kependekan atau penyingkatan serangkaian perkataan itu sebenarnya boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu akronim dan huruf ringkas.

     Akronim ialah kependekan atau penyingkatan bahagian-bahagian daripada serangkaian perkataan sama ada huruf, suku kata atau bahagian daripada perkataan lalu digabungkan atau dicantum untuk membentuk perkataan yang boleh dilafazkan sebagai satu perkataan yang utuh. Tatabahasa Dewan menggariskan empat cara pembentukan akronim, iaitu:

(a) Cantuman huruf awal perkataan

(b) Cantuman huruf dan suku kata perkataan

(c) Cantuman suku kata awal perkataan

(d) Cantuman bahagian awal perkataan pertama dengan bukan perkataan awal yang lain.

    Keempat-empat cara pembentukan akronim itu menghasilkan kata akronim yang tergolong dalam golongan kata nama dan bentuk kata tunggal seperti yang ada dalam Jadual 1.

Jadual 1 Cara pembentukan akronim

Bil  Proses Pengakroniman Akronim Rangkaian Perkataan
1 Cantuman huruf awal perkataan ADUN Ahli Dewan Undangan Negeri
UPSI Universiti Pendidikan Sultan Idris
JUSA Jawatan Utama Sektor Awam
IPTAR Institut Penyiaran Tun Abdul Razak
ABIM Angkatan Belia Islam Malaysia
2 Cantuman huruf dan suku kata perkataan Perkim Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia
Unitar Universiti Tun Abdul Razak.
Jakim Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Yadim Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
Perhilitan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman

Negara

3 Cantuman suku kata awal

perkataan

Pulada Pusat Latihan Darat
Perkeso Pertubuhan Keselamatan Sosial
Tadika Taman Didikan Kanak-kanak
Gapena  Gabungan Penulis Nasional
4 Cantuman bahagian awal

perkataan pertama dengan

bukan perkataan awal yang lain

gimrama  gimnastik berirama
jentolak  jentera tolak
purata  pukul rata
asbut  asap kabut

     Walau bagaimanapun, ada juga akronim yang terhasil tidak melalui empat cara seperti yang digariskan oleh Tatabahasa Dewan. Hal ini disebabkan ada akronim yang terbentuk tanpa mengambil sepenuhnya suku kata dalam rangkai kata berkenaan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran September

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *