Seiring Sederap Mentransformasikan Bahasa Kebangsaan

Oleh Nik Zahari Nik Man

     Sebahagian besar masyarakat Malaysia mungkin tidak perlu diperkenalkan dengan nama Kolonel Sanders lagi, ataupun nama sebenarnya Harland Sanders. Sanders juga seperti manusia normal lain, dibelenggu beberapa kegagalan dalam kehidupannya. Mungkin fitrah
manusia, yang hanya ghairah membicarakan dan memfokuskan kejayaan, bukannya mengkaji serta mencontohi usaha-usaha keras yang dilakukannya. Seawal usia enam tahun, ayahnya meninggal dunia. Pada masa yang sama, Sanders yang masih muda perlu menjaga adik lelakinya yang baru berumur tiga tahun. Dalam keadaan itu, dia harus memasak untuk keluarganya. Pada umur tujuh tahun, Sanders sudah pandai memasak di beberapa restoran, sehinggalah pada usia 10 tahun dia mendapatkan pekerjaan dalam sektor pertanian dengan gaji sebanyak dua dolar sebulan.

    Yang cukup menarik, perusahaan rangkaian Kentucky Fried Chicken (KFC) semuanya bermula apabila Sanders berumur 65 tahun. Pada umur sebegitu, Sanders mula menikmati bibit-bibit kejayaan. Ironinya, ketika dia berumur 16 tahun, dia sudah berhenti sekolah. Sanders turut kehilangan empat jenis pekerjaan saat dia mencapai umur 17 tahun. Seterusnya dia mendirikan rumah tangga setahun kemudian. Kehidupannya umpama sudah jatuh ditimpa tangga kerana isterinya melarikan diri dengan membawa bayi perempuan mereka. Sanders cuba menculik anak perempuan daripada jagaan isterinya, namun gagal. Kegagalan demi kegagalan yang ditempuhi ternyata mengubah hidup Sanders. Pada usia 65 tahun, barulah dia terfikir bahawa ada pekerjaan yang boleh dilakukannya dengan lebih baik, iaitu memasak.

Kisah hidup Sanders dapat dijadikan motivasi untuk kita. Saat dia bertekad untuk membunuh diri akibat kegagalan sehingga usianya mencecah 65 tahun, datang ilham semasa dia duduk di bawah sebatang pokok. Bayangkan, umur 65 tahun merupakan titik permulaan untuk beliau berjaya dan apabila Sanders menganjak usia 88 tahun, barulah dia bergelar jutawan. Begitu juga dengan tindakan kita yang mahu meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, memerlukan usaha yang konsisten walaupun mungkin memakan tempoh masa yang agak lama. Sesuai dengan kematangan usia bahasa kita, bahasa Melayu juga mencatatkan transformasi yang mampu dibanggakan kerana sifatnya yang sangat fleksibel. Bahasa Melayu umumnya meminjam kosa kata daripada bahasa Sanskrit, bahasa Tamil, bahasa Portugis, bahasa Belanda, sesetengahnya loghat Cina dan kini, bahasa Arab (khususnya istilah keagamaan), bahasa Inggeris (istilah saintifik dan teknologi). Berikut merupakan beberapa senarai istilah pinjaman daripada bahasa-bahasa tertentu:

Bil. Bahasa Melayu Bahasa Pinjaman
1. Biskut Biscuit (Bahasa Inggeris)
2. Dakwah Da’wah (Bahasa Arab)
3. Guru Guru (Bahasa Sanskrit)
4. Sabda Sabda (Bahasa Sanskrit)
5. Sepatu Sapato (Bahasa Portugis)

Berdasarkan jadual di atas, bahasa Melayu sememangnya dinamik menerima perkataan pinjaman daripada bahasa lain. Hal ini bergantung pada kecekapan penutur untuk berbahasa dengan sebaik-baiknya dan cakna akan kata-kata pinjaman tersebut. Walaupun dipinjam, morfologi kata dalam jadual di atas sebenarnya didaftarkan sebagai bahasa Melayu dengan ejaan yang sama atau yang disesuaikan. Sekiranya kita mengambil berat akan hal ini, sudah pasti kita dapat membezakan beberapa perkataan tertentu dalam bahasa Melayu seperti bas, bajet, biskut, hospital dan kalendar. Jadi tidak timbul soal ejaan yang melibatkan bahasa asing seperti bahasa Inggeris yang diutamakan secara mutlak. Situasi sebegini berkehendakkan kita agar mengetahui keadaan bahasa Melayu semasa dan tidak timbul soal ejaan bahasa Inggeris seperti bus, budget, biscuit, hospital dan calendar dalam sistem tulisan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran September

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *