Transformasi Bahasa Kita Turut Mengubah?

      No Comments on Transformasi Bahasa Kita Turut Mengubah?

Oleh Atirah Azmi

    Melihat beberapa orang anak muda bertarung bakat di pentas akhir Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2016 di Putrajaya, pada Mac lalu, sedikit sebanyak menimbulkan kebanggaan bukan sahaja kepada penutur yang rata-ratanya berbangsa asing, malah lebih penting terhadap bahasa Melayu itu sendiri.

    Dalam satu wawancara Mynewshub bersama-sama juara PABM Piala Perdana Menteri 2016, Abdalla Hassan Gharib, berusia 36 tahun, berasal dari Tanzania yang juga merupakan penuntut di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), beliau menceritakan kekagumannya terhadap bahasa Melayu sehingga menyebabkannya membuat keputusan untuk mengikuti kelas Pengajian Bahasa Melayu. Bertitik tolak dari situ, beliau mula jatuh cinta akan keindahan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi apabila Abdalla fasih bertutur bahasa Melayu dengan rakan-rakan di universiti.

    “Saya masih ingat lagi pada tahun 2014, iaitu ketika mula-mula mempelajari bahasa Melayu di universiti, pada mulanya saya agak kekok dan berasa malu hendak bercakap ditambah pula dengan kesuntukan masa di universiti. Namun begitu, saya seperti sudah jatuh hati dan tertarik oleh keindahan bahasa Melayu setelah bertutur sendiri dengan rakan-rakan tempatan di UNIMAS kerana saya sedar bahawa bahasa Melayu sebenarnya bahasa yang indah dan mudah untuk difahami”.

    Menurut Abdalla lagi, bagi memantapkan pertuturannya itu, dia turut berusaha membuang sifat malu dan berusaha membina keyakinan diri ketika berinteraksi dengan rakan rakannya walaupun menyedari bahawa beliau melakukan banyak kesilapan ketika berkomunikasi.

    “Kita harus berkongsi dan sentiasa berinteraksi dengan orang tempatan, ditambah pula
rakyat Malaysia begitu peramah. Apabila saya tersalah cakap mereka (masyarakat) akan cuba membetulkan dan mengajar saya cara bertutur yang betul. Inilah keunikan bahasa Melayu dan rakyat Malaysia,” ujarnya.

    Sementara itu, bagi peserta dari Amerika Syarikat, Megan Rose Donelly, berusia 27 tahun, beliau yang berjaya meraih tempat ketiga PABM Piala Perdana Menteri 2016 bagi kategori antarabangsa mengatakan bahawa dirinya amat meminati kehidupan masyarakat di Asia Tenggara. Hal ini sekali gus turut mendorongnya untuk mempelajari bahasa Melayu sejak
tahun 2009 dan pada masa yang sama kebanyakan kenalannya yang berada di Amerika Syarikat juga berasal dari rantau Asia Tenggara. “Sejak dari tahun 2009 lagi, saya mula mempelajari bahasa Melayu, maka saya sering bertutur dengan mereka sehingga menyebabkan saya begitu tertarik akan bahasa Melayu.”

    Hal yang demikian juga bagi juara PABM Piala Perdana Menteri 2016 bagi kategori antarabangsa, Hatsune Yanai, berusia 21 tahun yang berasal dari Jepun. Beliau turut menyatakan bahawa minat untuk mendalami bahasa Melayu bermula setelah beliau mendengar deklamasi merdu bacaan sajak dan syair dalam bahasa Melayu. Hal itu membuatkan dirinya seolah-olah jatuh cinta pandang pertama terhadap bahasa Melayu. Dengan penuh yakin Hatsune turut memberikan semangat kepada generasi pelapis dengan mengingatkan mereka agar menanamkan semangat cinta akan bahasa Melayu kerana menurutnya jika ada keinginan serta usaha, tidak mustahil bahasa Melayu mampu memberikan kejayaan yang besar kepada penuturnya. “Kepada adik-adik sama ada di Jepun mahupun di mana-mana negara, yang hendak belajar bahasa Melayu, jangan segan dan teruskan berlatih,” ujarnya.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran September

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *