Transformasi untuk semua kaum

      No Comments on Transformasi untuk semua kaum

 

    Dalam usaha untuk mengembalikan martabat bahasa kebangsaan, komitmen terhadap transformasi bahasa perlu digerakkan selaras dengan gagasan 1Malaysia dan moto 1Bahasa,1Bangsa,1Negara. Hakikatnya, tugas pelaksanaan dasar bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata. Sungguhpun begitu, kepimpinan politik dan sektor awam perlu mendahului dan menjadi contoh kepada masyarakat dalam penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.

    Apabila dikaji secara mendalam, sejauh manakah bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa rasmi? Adakah komunikasi lisan dan tulisan digunakan sepenuhnya bagi semua urusan rasmi kerajaan? Dalam hal ini bagaimana pula bentuk komunikasi antara sektor awam dengan sektor swasta ? Sehingga kini saranan pelbagai pihak untuk melihat penggunaan nama khas dan bahasa kebangsaan di tempat awam, industri perhotelan, pelancongan, siaran media massa yang mendukung bahasa kebangsaan masih menjadi isu yang tiada penghujungnya. Apakah identiti negara kita yang sebenarnya jika nama-nama khas yang mendukung citra kenegaraan tidak digunakan secara meluas?
Sewajarnya, tanpa sebarang paksaan, citra bahasa kebangsaan seharusnya terpampang penggunaannya di mana-mana jua. Sampai bilakah komunikasi antara sektor swasta dan korporat dengan pelanggan dalam negara ini masih kekal menggunakan bahasa Inggeris? Oleh hal yang demikian, Dasar Bahasa Kebangsaan seharusnya digerakkan dengan pendekatan strategi transformasi baharu memandangkan pencapaian dasar bahasa sebelumnya tidak memuaskan dalam beberapa bidang utama sebelum ini. Pada masa yang sama, rakyat pelbagai kaum juga disarankan memberi komitmen yang padu dengan memiliki kefahaman dan kesedaran bagi tujuan membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan ke tahap yang tertinggi. Negara kita tidak memerlukan dasar pelbagai bahasa kerana langkah itu hanya akan membawa kesan buruk terhadap keharmonian dan perpaduan kaum. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu sememangnya terbukti mampu menjadi bahasa perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

    Pada 2 Ogos lalu, kerajaan menggesa agar lebih banyak aktiviti yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu diadakan di sekolah jenis kebangsaan dan sekolah persendirian bagi memperkasakan lagi bahasa kebangsaan. Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan melalui ucapannya bersempena dengan Festival Bahasa dan Sastera 2016 yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjelaskan bahawa usaha tersebut amat penting kerana bahasa Melayu merupakan hak semua kaum di negara ini dan selari dengan hasrat kerajaan untuk menyatupadukan semua kaum dengan satu bahasa yang berpayungkan 1Malaysia. Tegas beliau, bahasa Melayu merupakan bahasa penyatuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Berasaskan semangat perlembagaan negara itu, maka semua kaum diseru menggunakan bahasa kebangsaan untuk berkomunikasi dalam pelbagai bidang.

    Sesungguhnya aspirasi 1Bahasa 1Bangsa 1Negara dalam konteks 1Malaysia dapat dicapai sekiranya bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam segenap aspek. Rakyat Malaysia pelbagai kaum perlu “memimpin” diri mereka sendiri agar bahasa Melayu dapat dijadikan sebagai salah satu bahasa komunikasi antarabangsa sebelum abad ke-21 melabuhkan tirainya.

Abd Kadir Mohd Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *