Panduan Penggunaan Bahasa Diraja

      No Comments on Panduan Penggunaan Bahasa Diraja

Judul Buku : Bahasa Diraja Edisi Baharu
Pengarang : Prof. Emeritus Dato’ Asmah Haji Omar
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga : RM8.00
Pengulas : Nia Kurniati

Sebelum terbitnya buku Bahasa Diraja oleh Asmah Haji Omar pada tahun 1985 (cetakan pertama, belum ada satu pun buku kajian khusus tentang bahasa diraja di pasaran. Buku tersebut merupakan karya ilmiah pertama yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu.
Seterusnya, pada tahun 2004, buku tersebut telah dibuat penambahbaikkan dan diterbitkan cetakan keduanya. Walaupun ada serba sedikit pindaan untuk penambahbaikkannya, pada dasarnya buku ini masih lagi mempertahan struktur dan kandungan asalnya.
Bahasa diraja adalah sejenis kelainan sosial antara berbagai-bagai kelainan sosial bahasa Melayu. Sungguhpun bahasa ini bukanlah kelainan asas yang dipelajari oleh penutur Melayu, tetapi merupakan kelainan yang perlu diketahui oleh semua rakyat Malaysia. Inilah kelainan yang paling halus dan digunakan dalam situasi khusus, iaitu apabila kita berhadapan dengan atau merujuk keluarga diraja.
Bahasa diraja yang juga dikenali sebagai bahasa istana ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan kebahasaan apabila sekurang-kurangnya salah satu pihak itu terdiri daripada keluarga diraja. Dengan demikian, bahasa yang digunakan ialah bahasa yang mempunyai ciri-ciri khusus yang menandakan perbezaannya dengan bahasa bukan diraja. Selain itu, bahasa diraja juga merupakan bahasa yang halus kerana bahasa ini digunakan dengan penuh sopan santun dan adab tertib walau dalam keadaan apa-apa sekalipun. Bahasa diraja merupakan warisan kebudayaan Melayu yang mencerminkan kehalusan, sopan santun, dan adab tertib yang tinggi dalam berbahasa.
Bahasa bukan diraja pula ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan yang tidak dihadapkan kepada sekatan-sekatan atau kendala-kendala diraja. Semasa menggunakan bahasa ini, tiada pihak yang berhubungan dengan keluarga diraja. Bahasa ini juga biasanya disebut bahasa biasa atau bahasa orang kebanyakan. Sementara bahasa halus, ialah bahasa yang digunakan dengan penuh sopan santun dan adab tertib walau dalam keadaan apa-apa sekalipun. Hal yang berkaitan dengan latar belakang bahasa diraja itu diungkapkan dalam bab pertama buku itu, iaitu Pengenalan Bahasa Diraja.
Seterusnya, dalam bab kedua, Ciri-ciri Khusus pula, dijelaskan tentang ciri-ciri khusus dan nahu bahasa diraja. Dlaam bab ini, dijelaskan tentang perbezaan anata bahasa diraja dengan bahasa biasa. Dalam bahasa biasa, ungkapan dan perbendaharaan tertentu tidak digunakan, seperti daulat tuanku, ampun tuanku, dan menjunjung kasih tuanku. Ungkapan seperti itu hanya digunakan dalam bahasa diraja.
Dari segi nahunya pula, bahasa diraja ada kecenderungan penggunaan penambahan dan konteka tertentu, seperti penambahan awalan per- dan akhiran -nda atau -anda. Penambahan tersebut digunakan secara luas dalam bahasa diraja seperti permuliakan, persembahkan, persila, ibunda, kakanda, ada kanda, dan ayahanda.
Takrif, konteks penggunaan, dan pembahagian sebutan diri pula dijelaskan dalam bab tiga, Sebutan Diri. Sebutan diri ialah perkataan-perkataan yang digunakan untuk merujuk diri, sebagai diri pertama, iaitu diri sendiri; atau sebagai diri kedua, iaitu orang yang diajak bercakap; atau sebagai diri ketiga, iaitu orang diperkatakan. Sebutan diri dalam bahasa diraja boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu ganti nama diri dan kata kekeluargaan.
Seterusnya, dijelaskan tentang fungsi-fungsi penggunaan komunikasi bahasa diraja dalam bab keempat, Fungsi Komunikasi Bahasa Diraja. Fungsi komunikasi bahasa diraja ialah fungsi yang dijalankan oleh bahasa dalam menimbulkan komunikasi atau perhubungan antara para pameran bahasa, baik secara lisan mahupun tulisan. Penyampaian sesuatu komunikasi ada kalanya menimbulkan tindak balas, dan ada kalanya tidak. Tindak balas itu boleh berupa tindak balas dalam bentu bahasa atau juga tindak balas dalam bentuk gerak-geri, atau kedua-duanya.
Akhir sekali, dalam bab kelima, kesimpulan, Asmah menegaskan bahawa satu ciri penting dalam komunikasi yang menggunakan bahasa diraja ialah penggunaan gelar-gelar diraja. Tiap-tiap Aultan mulai dari Yang di-Pertuan Agong mempunyai gelaran tersendiri dan gelaran-gelaran itu telah pun dikanunkan oleh negeri masing-masing dan kerajaan persekutuan. Yang di-Pertuan Agung dirujuk sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Permaisuri Baginda membawa gelar Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Pada amnya, ada keseragaman dalam gelar yang diberikan kepada Sultan-sultan, iaitu pada asasnya Duli Yang Maha Mulia. Demikian juga halnya dengan permaisuri. Tengku Mahkota atau Raja Muda [ada amnya dirujuk sebagai Duli Yang Teramat Mulia.
Secara keseluruhannya, buku setebal 58 halaman ini dibahagikan kepada lima bab utama. Untuk memberikan panduan yang lebih jelas kepada pembaca, dalam buku tersebut, turut disertakan tiga lampiran, iaitu lampiran senarai ungkapan bahasa diraja. Buku ini amat sesuai dijadikan rujukan kepada pelajar, guru, pengkaji bahasa, dan pembaca umum untuk mengetahui penggunaan bahasa diraja yang betul, terutamanya dalam situasi dan urusan rasmi.

Ulasan buku ini dipetik daripada Pelita Bahasa keluaran September

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *