Peribahasa Berkaitan dengan Buaya

      No Comments on Peribahasa Berkaitan dengan Buaya

Oleh Zulkifli Mohd Top

Buaya tergolong dalam kategori haiwan berdarah sejuk dengan mempunyai suhu badan yang bergantung pada persekitarannya. Haiwan ini tidak berupaya untuk mengawal atur suhu tubuhnya dengan sendiri, maka buaya perlu mendiami habitat berair yang bersuhu panas dan lembap spanjang tahun. Buaya juga merupakan pemangsa kekunci yang berada pada peringkat tertinggi dalam rantaian makanan dengan pelbagai jenis makanan dan haiwan. Di samping itu, anak buaya pula menjadi makanan kepada haiwan lain seperti babi hutan, biawak, penyu, ikan siakap,helang dan buaya. Sebagai pemangsa dan mangsa,buaya memainkan peranan penting untuk memastikan ekosistem tanah becah sihat.

Masyarakat Melayu turut meletakkan haiwan reptilia ini dalam dunia peribahasa mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, kehidupan orang Melayu yang asalnya menghuni di pesisir sungai dan kampung memberikan wadah terhadap haiwan ganas ini. Tambahan pula, kejadian yang tidak diingini seperti menjadi mangsa keganasan haiwan ini menyebabkan dunia buaya begitu sinonim dengan dunia masyarakat Melayu. Antara peribahasa yang menggunakan buaya sebagai kiasan adalah seperti yang berikut:

Bil

Peribahasa dan Takrif Contoh Ayat

1.

 

Air yang keruh-keruh kerak, alamat buaya di hulunya.

Takrif

Daripada perkataan dapat dimaklumi niat di dalam hati. keruh-keruh kerak = tiada jernih.

 

Air yang keruh-keruh kerak, alamat buaya di hulunya. Itulah ungkapan yang dapat ditujukan kepada Aman. Walaupun dia bercakap secara berselindung, namun apa-apa yang tersirat dalam hatinya, dapat difahami oleh Azwan.

2.

 

Terlepas daripada rahang harimau, termasuk ke dalam rahang buaya.

Takrif

Perempuan yang bernasib malang, bercerai daripada suami hartawan yang hina dan kahwin dengan seorang hamba yang miskin.

 

Kehidupan Elizabeth sangat malang kerana mendapat suami yang lebih teruk daripada bekas suaminya yang terdahulu ibarat terlepas daripada rahang harimau,termasuk ke dalam rahang buaya.

3.

 

Asal selamat ke seberang, biar bergantung di ekor buaya.

Takrif

Sangat perlu akan pertolongan, betapa pun jua pertolongan itu akan diterimanya.

 

Alysa sangat berharap kepada sesiapa sahaja yang boleh membantu dalam menangani masalahnya kerana baginya asal selamat ke seberang,biar bergantung di ekor buaya.

4.

 

Buaya setanjung makan tak habis (Sarawak).

Takrif

Terlalu gemuk (tentang orang).

 

Ilman sangat suka makan. Dia ibarat buaya setanjung makan tak habis.

5.

 

Ditangkap buaya, nampak riaknya; ditangkap malas tak bertanda.

Takrif

Sifat malas seseorang tak dapat dilihat sebelum disuruh membuat sesuatu kerja.

 

Nurul selalu dimarahi ibunya kerana sikap pemalasnya ibarat ditangkap buaya,nampak riaknya,ditangkap malas tak bertanda.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Ogos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *