Penggunaan Kata Hubung Secara Berderetan

      No Comments on Penggunaan Kata Hubung Secara Berderetan

Oleh Muhammad Norrudin Abdul Aziz

Dalam bahasa Melayu, kata hubung tergolong dalam kata tugas. Penggunaan kata hubung sangat produktif dan meluas kerana gabungan ayat tunggal menghasilkan ayat majmuk. Kata hubung ialah perkataan yang berfungsi untuk menyambungkan ayat, frasa dan perkataan bagi membentuk ayat majmuk. Kata hubung terbahagi kepada dua, iaitu kata hubung gabungan dan kata hubung pancangan.

Oleh sebab tidak menguasai kata hubung, banyak pengguna bahasa mengalami kekeliruan dan melakukan kesilapan ketika menggunakan kata hubung menyebabkan kelewahan. Dalam konteks penggunaan kata hubung, lewah bermaksud membazir atau hal yang berlebih-lebihan, yakni menggunakan kata hubung secara berderetan.

Peraturan dalam bahasa Melayu menetapkan bahawa kata hubung tidak boleh digunakan secara berderetan dalam suatu klausa seperti yang berikut:

  1. Kami berjuang bermati-matian demi untuk mempertahankan negara ini.
  2.  Saya akan menduduki peperiksaan itu semula jika sekiranya keputusan yang saya peroleh tidak memberangsangkan.
  3. Hasil tuaian padi akan merosot andai kata jika musim panas ini berterusan.
  4. Ravi masih belum tidur meskipun setelah hari sudah larut malam.
  5. Kalau sekiranya hujan semakin lebat, perlawanan ini akan ditangguhkan.

Jika kita membaca ayat 1 hingga ayat 5 untuk kali pertama, sudah tentu kita mengatakan bahawa ayat tersebut adalah betul. Untuk mengetahui ayat 1 hingga ayat 5 sama ada betul atau salah, kita perlu mengenal pasti kata hubung yang terdapat dalam ayat tersebut. Dalam tatabahasa Melayu, kehadiran dua kata hubung yang berderetan dalam satu klausa tidak dibenarkan. Jika digunakan dua kata hubung secara berturut-turut, ayat tersebut dikatakan salah. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat itu lewah atau menggunakan sesuatu perkataan secara berlebihan.

Oleh hal demikian, kita mestilah menggunakan satu kata hubung dalam satu klausa. Marilah kita menganalisis ayat 1 hingga ayat 5.

Dalam ayat 1, penggunaan kata hubung yang berderetan ialah demi untuk. Maka, perlulah digunakan salah satu kata hubung sepertu ayat yang berikut:

1(a). Kami berjuang bermati-matian demi mempertahankan negara ini.

1(b). Kami berjuang bermati-matian untuk mempertahankan negara ini.

Perhatikan ayat 2 yang jelas salah kerana dua kata hubung jika dan sekiranya hadir secara berturutan..

Hal ini tidak dibenarkan dalam bahasa Melayu. Ayat 2 sepatutnya seperti yang berikut:

2(a). Saya akan menduduki peperiksaan itu semula jika keputusan yang saya peroleh tidak memberangsangkan.

2(b). Saya akan menduduki peperiksaan itu semula sekiranya keputusan yang saya peroleh tidak memberangsangkan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Ogos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *