Membawa, Menjunjung, Menjulang

      No Comments on Membawa, Menjunjung, Menjulang

Oleh Mohamad Zuber Ismail

    Bahasa Melayu mempunyai banyak istilah, perbendaharaan kata atau kosa kata. Sebahagian kosa kata tersebut mempunyai makna yang sama atau sama erti. Dengan kata lain, perkataan ini dianggap sebagai sinonim. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2004), sinonim ditakrifkan sebagai kata-kata yang sama atau hampir sama maknanya. Dalam perbincangan ini, kita akan melihat satu konsep, iaitu “membawa“. Apakah maksud “membawa” sebenarnya?

     Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2004) “membawa” dijelaskan sebagai memegang sesuatu sambil berjalan; memegang sesuatu dari suatu tempat ke tempat yang lain.

    Dalam kosa kata bahasa Melayu konsep “membawa” mempunyai pelbagai maksud dan perlu digunakan dalam pelbagai konteks dan situasi yang bersesuaian agar penggunaannya tepat. Jadual di bawah, dijelaskan secara rinci kosa kata yang mempunyai “membawa“.

Perkataan

Makna dalam Kamus

Menjunjung Membawa sesuatu di atas kepala.
Menggalas Membawa barang-barang di atas bahu dengan menggunakan galas.
Menjinjing Membawa sesuatu dengan tangan terhulur ke bawah; membimbit.
Membimbit Membawa sesuatu dengan jari.
Mengandar Membawa barang dengan kandar.
Mendukung Membawa di pinggang atau di belakang.
Mengendong Membawa barang dengan dibungkus di dalam kain sarung/ sapu tangan dan lain-lain.
Menjulang Mengangkat ke atas.
Mengusung Mengangkat atau membawa beramai-ramai di atas bahu atau membawa orang dengan menggunankan tandu.
Memikul Membawa barang di atas bahu.
Menatang Membawa sesuatu di atas tapak tangan.
Mengepit Membawa sesuatu di antara lengan dengan badan atau di antra dua jari.
Mengelek Mengepit sesuatu di rusuk atau dibawak ketiak.

    Kosa kata dalam jadual tersebut menjelaskan bahawa maksud atau kosa kata “membawa” perlu disesuaikan dengan konteks dan situasi yang bertepatan. Penggunaan istilah yang bertepatan. Penggunaan istilah yang tepat dapat menjelaskan sesuatu perkara secara tuntas dan dapat menyampaikan mesej dengan berkesan. Penggunaan kata yang tepat dapat menyerlah dan memancarkan ketelitian, serta dan keunikan sesuatu bahasa. Hal ini amat signifikan dan relevan untuk mengangkat martabat dan kedaulatan sesuatu bahasa.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Ogos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *