Bentuk Soalan Kesalahan Ejaan dan Imbuhan

      No Comments on Bentuk Soalan Kesalahan Ejaan dan Imbuhan

Oleh Samat Buang

     Salah satu bentuk soalan yang diuji dalam Kertas Bahasa Melayu 2 (1103/2) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sama ada SPM bulan November, atau SPM Ulangan termasuklah aspek pengetahuan bahasa dan kemahiran tatabahasa. Pada keseluruhannya, terdapat lima bahagian kecil aspek pengetahuan bahasa dan kemahiran tatabahasa yang diuji dalam soalan nombor 3. Antara aspek pengetahuan bahasa dan kemahiran tatabahasa yang dimaksudkan terdiri daripada aspek morfologi, sintaksis, sistem ejaan dan penggunaan imbuhan, kesalahan kata atau istilah dan kesalahan bahasa, serta peribahasa. Jumlah markah keseluruhan yang diperuntukkan bagi soalan nombor 3 kertas tersebut terdiri daripada 30 markah, iaitu 6 markah bagi setiap bahagian.

    Fokus perbincangan dalam rencana kali ini tertumpu pada aspek kesalahan ejaan dan penggunaan imbuhan. Prinsip “membiasakan yang betul” dan “membetulkan yang biasa” merupakan dua perkara yang berbeza. Sama ada kita sedar atau tidak bahawa untuk “membetulkan yang biasa” bukanlah suatu perkara yang mudah. Dengan kata lain, sebagai pengguna bahasa, kita seharusnya menutur atau menggunakan bahasa dengan betul mengikut peraturan atau hukum bahasa yang sedia ada meliputi bidang morfologi dan sintaksis. Peraturan itulah yang akan menentukan bahasa yang kita gunakan itu dapat berfungsi dengan baik, berkesan, atau sebaliknya. Oleh sebab kejahilan terhadap sistem bahasa, maka tidak hairanlah wujudnya fenomena kerancuan bahasa yang berleluasa dalam kalangan masyarakat pada hari ini terutamanya di papan tanda, gegantung, kain rentang, papan iklan, sari kata di televisyen, dan sebagainya. Lantaran itu, dengan adanya bentuk soalan yang menguji aspek penggunaan imbuhan dan sistem ejaan yang betul, secara tidak langsung kita akan dapat melahirkan generasi pelajar yang benar-benar dapat merealisasikan prinsip “membiasakan yang betul”. Dengan kata lain, murid akan cuba sedaya upaya membiasakan diri mereka dengan menggunakan sistem bahasa yang betul.

Aspek kesalahan ejaan

    Soalan yang menguji aspek kesalahan ejaan diuji dalam soalan 3 (c) bersama-sama kesalahan penggunaan imbuhan. Sistem ejaan bahasa Melayu ialah sistem yang pada umumnya berdasarkan kaedah fonemik, iaitu unit-unit bunyi yang berfungsi sahaja yang dilambangkan dengan huruf dan pada umumnya tidak ada huruf-huruf yang senyap. Walau bagaimanapun, satu prinsip yang digunakan dalam pengejaan istilah pinjaman ialah pengekalan bentuk ejaan kata asing seboleh yang mungkin, terutama sekali perkataan-perkataan yang sudah lama masuk ke dalam bahasa Melayu dikekalkan ejaannya mengikut kelazimannya. Bagi membolehkan pelajar mahir dengan sistem ejaan yang betul, mereka perlu merujuk buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Soalan yang diuji dalam aspek kesalahan ejaan termasuk ejaan yang melibatkan kata majmuk, kata pinjaman daripada bahasa asing, penggunaan sempang, dan sebagainya.

Aspek kesalahan penggunaan imbuhan

     Soalan yang menguji aspek kesalahan dari segi penggunaan imbuhan juga diuji dalam soalan 3 (c) bersama-sama kesalahan ejaan. Imbuhan yang perlu dikuasai terdiri daripada imbuhan awalan, akhiran, apitan, dan sisipan. Imbuhan awalan terdiri daripada imbuhan meN-, ber-, ter-, di-, memper-, dan diper-, manakala imbuhan akhiran terdiri daripada imbuhan -kan dan -i. Imbuhan apitan pula terdiri daripada meN…kan, ber…kan, ber.. an, meN…i, di…i, memper…kan, memper…i, ke..an, diper… kan, dan diper…i. Sementara itu, awalan sisipan pula terdiri daripada -el-, -er-, -em-. Dari segi bentuk soalan peperiksaan, lazimnya terdapat tiga ayat yang dikemukakan secara berasingan ataupun berdasarkan satu petikan pendek yang mengandungi tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Dalam setiap ayat tersebut, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Ogos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *