Mengenal Makna di Sebalik Kata

      No Comments on Mengenal Makna di Sebalik Kata

Judul Buku : Di Sebalik Kata

Pengarang : Zaidi Ismail

Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit : RM19.00

Pengulas : Junawati Ab Hamid

Kata ialah gabungan atau kesatuan bunyui yang mengandungi atau menyampaikan pengertian (makna) tertentu. Kata juga merupakan sesuatu yang diucapkan atau dituturkan, serta mempunyai makna dan sejarahnya (etimologi) yang tersendiri. Penggunaannya bukanlah secara bebas tetapi ada aturannya.

Buku Di Sebalik Kata tulisan Zaidi Ismail ini merupakan sebuah buku yang dihasilkan untuk mengungkapkan sesuatu yang ada di sebalik kata, seperti ejaan, pembentukan kata dan makna. Buku ini juga merupakan himpunan makalah beliau yang pernah disiarkan dalam majalah Pelita Bahasa dan Dewan Bahasa dari tahun 2003-2007. Sebahagian besar makalah ini disiarkan dalam ruangan Komentar Bahasa dalam Pelita Bahasa.

Keseluruhannya buku ini disusun dalam lima bab, iaitu Bab 1: Ejaan, Bab 2: Akronim dan Singkatan, Bab 3: Kata dan Makna, Bab 4: Kesantunan Berbahasa, dan Bab 5: Perkembangan Bahasa. Aspek utama yang dibahaskan dalam buku ini ialah aspek semantik, morfologi, dan sintaksis (penggunaan kata dalam ungkapan atau ayat). Dalam bab Ejaan, persoalan yang dibahaskan adalah berkisar tentang kekeliruan penggunaan ejaan yang tepat dan ejaan yang sepatutnya digunakan serta alasannya. Antara ejaan yang sering mengelirukan pengguna bahasa termasuklah ejaan Yang Dipertuan atau Yang di-Pertuan, dan Yang Dipertua atau Yang di-Pertua. Ejaan manakah yang sepatutnya digunakan?

Pengguna bahasa masih lagi keliru dalam mengeja frasa tersebut, terutamanya dari segi penggunaan huruf besar dan penggunaan tanda sempang. Kekeliruan ini dapat dilihat secara tidak langsung, terutamanya dalam media cetak, seperti akhbar dan majalah. Dalam buku tersebut dijelaskan bahawa mulai tahun 2000, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memutuskan untuk menyelaraskan dan menetapkan ejaan bagi frasa tersebut. Tiga bentuk penulisan yang betul telah diputuskan, iaitu: Yang Dipertua, Yang di-Pertua, dan Yang di-Pertuan. Penggunaan ketiga-tiga frasa tersebut adalah khusus untuk jawatan atau pangkat tertentu.

Frasa Yang Dipertua digunakan khusus untuk ketua organisasi atau pertubuhan, seperti, Yang Dipertua Majlis Ampang Jaya, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. Frasa Yang di-Pertua pula digunakan khusus untuk ketua negeri serta ketua dalam Dewan Negara, Dewan Rakyat, dan Dewan Negeri, seperti Yang di- Pertua Negeri (Melaka, Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak), Yang di-Pertua Dewan Negara, dan
Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Khusus untuk ketua negara dan ketua negeri pula, frasa yang digunakan ialah Yang di-Pertuan, seperti Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Besar (Negeri Sembilan), dan Yang di- Pertuan Negeri (Gelaran untuk raja yang memerintah).

Dalam bab kedua, Akronim dan Singkatan pula, penulis membahaskan tentang perbezaan antara akronim dengan singkatan, serta cara penulisan dan pembentukannya. Dalam buku tersebut dinyatakan bahawa penggunaan akronim dan singkatan tidak begitu digalakkan dan hanya digunakan apabila benar-benar diperlukan.

Apabila akronim dan singkatan ingin digunakan dalam penulisan, kepanjangannya atau nama penuh perlulah ditulis terlebih dahulu dan diikuti oleh akronim atau singkatan dalam tanda kurung atau sebaliknya, apabila menggunakannya pada kali pertama. Setelah itu barulah akronim dan singkatan boleh digunakan secara berterusan dalam satu-satu penulisan atau teks. Untuk nama khas, khususnya nama orang, nama hendaklah ditulis sepenuhnya, tidak menggunakan singkatan. Dalam penerbitan tertentu seperti buku, jika singkatan terlalu banyak digunakan, singkatan tersebut hendaklah disenaraikan sebagai bahan awalan.

Antara akronim dengan singkatan sebenarnya tidak sama. Akronim dari segi penyebutannya disebut sebagai perkataan yang baharu dan wajar, contohnya GapenaBernama dan kugiran. Sementara singkatan pula ada dua cara penyebutan, iaitu:

i. Singkatan nama negeri, negara, jabatan, institusi dan organisasi disebut satu persatu huruf yang pertama setiap perkataan yang disingkatkan, contohnya K-B, K-L, D-B-P dan P-B-B.
ii. Singkatan umum, gelar, sapaan, dan pangkat yang ditulis menggunakan satu titik disebut penuh sebagaimana kata asalnya, contohnya jln. (disebut jalan) tn. (disebut tuan), dan dr. (disebut dokter).

Dari segi cara penulisannya pula, semua akronim ditulis tanpa menggunakan titik manakala singkatan ada yang ditulis menggunakan titik dan ada yang tidak menggunakan titik.

Tentang penggunaan kata yang tepat dalam rangkai kata dan ungkapan atau ayat pula, penulis membahaskannya dalam bab ketiga, Kata dan Makna. Dalam bab ini, aspek penting yang ditekankan ialah aspek semantik dan juga alasan kewajaran penggunaan sesuatu kata dalam rangkai kata, ungkapan atau ayat. Selanjutnya, aspek kesantunan bahasa, khususnya dari segi penggunaan kata-kata yang sopan dan halus dibahaskan dalam bab keempat, Kesantunan Bahasa. Dalam bab ini, penulis turut meninjau aspek tersebut dalam bahasa Indonesia yang merupakan bahasa serumpun untuk dijadikan panduan.

Bab Perkembangan Bahasa merupakan bab terakhir buku ini. Dalam bab ini dibahaskan tentang perkembangan semasa bahasa waktu itu, seperti isu lagu rojak, bahasa SMS, penggunaan slogan yang mengandungi kata infotainmen dan inforia, penggunaan istilah boulevard, promenade, dan parcel, serta DBP sebagai penguat kuasa bahasa.

Buku ini amat bermanfaat untuk dijadikan rujukan, terutamanya dalam kalangan guru, serta pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Juga boleh dijadikan bahan bacaan umum dalam kalangan penulis yang prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.

Ulasan ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Ogos

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *