Kata Kerja Pasif Awalan di- dan ter-

      No Comments on Kata Kerja Pasif Awalan di- dan ter-

Oleh Mohd Januri Aiyub

Kata kerja pasif boleh terbentuk melalui proses pengimbuhan kata dasar dengan awalan di- dan
awalan ter-. Awalan di- lazimnya terhasil melalui proses transformasi ayat aktif yang menggunakan
awalan meN- kepada ayat pasif, sementara awalan ter- sememangnya wujud sebagai kata
kerja pasif tanpa sebarang transformasi ayat. Dalam binaan ayat pasif yang menggunakan awalan
di- dan ter-, keadaannya berbeza apabila kehadirannya bersekali dengan kata ganti nama diri orang pertama atau orang kedua. Makalah ini akan memfokuskan kata kerja pasif awalan di- dan ter- yang hadir bersama-samanya kata ganti nama diri orang pertama atau orang kedua dalam satu ayat.

Secara umumnya, apabila berlaku transformasi ayat aktif menjadi ayat pasif yang menggunakan imbuhan awalan meN-, subjek dalam ayat asal akan berubah. Objek akan menjadi subjek yang baharu dan kata kerja pasif di- akan diikuti kata sendi oleh. Dalam keadaan frasa nama hadir secara berurutan dengan kata sendi oleh, kata sendi berkenaan boleh digugurkan. Walau bagaimanapun, dalam ayat pasif yang hadir bersama-sama kata kerja pasif awalan di dengan kata ganti nama diri orang pertama atau kedua, kata sendi oleh tidak dibenarkan sama sekali. Hal ini dapat dijelaskan seperti ayat yang berikut:

1.  Saya menulis surat itu.
1a. Surat itu ditulis oleh saya.
1b. Surat itu ditulis saya.
1c. Surat itu saya tulis.

Ayat 1 ialah ayat aktif transitif dengan menggunakan awalan meN- yang membentuk kata kerja
transitif menulis dan diikuti objek surat itu. Subjek terdiri daripada perkataan saya, iaitu kata ganti nama diri orang pertama. Apabila ayat berkenaan dipasifkan, objek surat itu ditransformasikan menjadi judul dan subjek yang baharu seperti yang ada dalam ayat 1a, ayat 1b dan ayat 1c.

Ayat 1a dianggap tidak gramatis kerana dalam ayat ragam pasif, kata ganti nama diri orang pertama atau orang kedua tidak boleh menerima kata kerja pasif yang mempunyai imbuhan pasif di-. Walaupun, kata sendi nama oleh boleh digugurkan seperti ayat 1b, lazimnya, selepas kata kerja pasif di-, kata sendi oleh akan mengikutinya. Oleh itu, ayat 1a dan 1b tidak gramatis kerana kata ganti nama diri orang pertama saya tidak boleh hadir selepas kata sendi oleh yang hadir sebelumnya kata kerja berimbuhan pasif di-. Formula berikut tidak menepati kegramatisan ragam ayat pasif yang melibatkan kata ganti nama diri orang pertama atau orang kedua.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Ogos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *