Kecenderungan Penggunaan Dwibahasa Di Tempat Awam

Oleh Md Nizar Parman

     Bahasa Jiwa Bangsa. Ungkapan indah ini mungkin tidak asing pada pendengaran kita kerana acap kali diucapkan dalam majlis yang lazimnya berkaitan dengan program bahasa Melayu di negara kita. Namun begitu, ungkapan yang indah ini tidak memberikan sebarang makna jika hanya diselitkan untuk memperindahkan ucapan yang disampaikan tanpa adanya penghayatan.

    Jika kita menelusuri sejarah perkembangan bahasa Melayu yang cukup hebat di Nusantara, terutama ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, ternyata bahasa ini pernah diangkat sebagai lingua franca yang diguna oakai sebagai bahasa perantaraan utama dalam semua urusan di Melaka pada ketika itu. Kerajaan Melaka pada ketika itu bukan sahaja dicemburui kerana kemajuan ekonominya, malah kehebatan bahasa Melayu pada masa itu turut membuka mata pedagang dan pengembara asing dari seluruh dunia, khususnya Eropah. Bukan setakat barang dagangan yang menjadi tumpuan utama mereka, justeru bahasa Melayu juga dianggap sebagai khazanah intelektual Melayu yang perlu dibawa pulang ke negara mereka melalui pelbagai cara.

    Sejak kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis, kemudian Belanda dan seterusnya Inggeris, secara perlahan-lahan penguasaan dan fungsi bahasa Melayu kian terhakis. Kesan penjajahan yang berlaku kira-kira lima ratus tahun yang lalu masih terkesan sehingga kini. Kita seakan-akan bergelut untuk memartabatkan bahasa Melayu dan usaha yang dilakukan ini ternyata belum menemui noktahnya. Lebih malang lagi, ada pula segelintir masyarakat di negara ini begitu gigih memperjuangkan bahasa Inggeris sehingga seolah-olah menafikan keupayaan bahasa Melayu untuk berkembang pada peringkat global. Benarkah kita tidak akan maju jika menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama dalam semua urusan di negara ini?

    Jika kita hayati, Perkara 152 Perlembagaan Malaysia secara jelas memperuntukkan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di negara ini tanpa menyekat bahasa lain untuk dipelajari, digunakan dan dikembangkan walaupun menggunakan dana awam. Namun demikian, jika
keutamaan atau kelebihan diberikan kepada bahasa lain melangkaui kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, perkara ini perlu kita renungkan bersama-sama.

     Persoalannya, apakah perkara pokok atau isu utama yang bermain dalam minda sebahagian daripada rakyat di negara ini sehingga bersikap pesimisme terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan terutama di tempat awam? Kecenderungan penggunaan istilah dwibahasa di tempat awam atau nama sesuatu tempat seolah-olah menjadi fenomena di negara kita dewasa ini. Tidak hairanlah jika ada dalam kalangan kita yang tertanya-tanya, di negara manakah kita berada sebenarnya?Adakah penggunaan perkataan presint dan boulevard bagi menamakan sesuatu jalan atau tempat menjadikannya kelihatan lebih gah berbanding dengan penggunaan istilah kawasan kecil dan lebuh hias?

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Ogos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *