Bahasa Melayu Tercemar dengan Penggunaan Slanga

Oleh Taz’rah Nailah Abd. Hadi dan Umie Nadia Mohamad Nor

Bahasa Melayu kini kian tercemar kerana penggunaan slanga dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja. Apakah yang dimaksudkan dengan slanga? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bahasa slanga merupakan kata, ungkapan dan sebagainya yang tidak tergolong dalam bahasa baku, iaitu bahasa yang digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Selain itu, Nik Safiah Karim pula mendefinisikan slanga sebagai bahasa terhad kerana mempunyai ciri tertentu yang hanya digunakan serta difahami oleh golongan tertentu sahaja. Oleh hal yang demikian, dapat disimpulkan bahawa slanga adalah bahasa yang digunakan oleh sekumpulan kelompok manusia dan golongan berkenaan sahaja yang dapat memahaminya.

Pencemaran bahasa Melayu berlaku apabila slanga digunakan secara berleluasa dalam kalangan remaja masa kini. Isu penggunaan slanga dikatakan sudah pun mencemari bahasa Melayu berikutan oleh penambahan atau penyisihan perkataan tertentu yang tidak diiktiraf perkataan atau sebutannya dalam bahasa Melayu baku. Misalnya, “Kucin itu comei lerr”. Berdasarkan daripada ayat tersebut, penggunaan slanga dapat dilihat apabila leksikal asli bagi ‘kucing’ diubah bentuk ejaannya kepada “kucin” dengan menyisihkan unsur abjad “g”. Begitu juga dengan leksikal asli bagi perkataan ‘comel’ yang diubah bentuk ejaannya kepada “comei” melalui proses penggantian unsur abjad “l” kepada “i”. Unsur penambahan “lerr” pada akhir klausa menunjukkan dengan jelas mengenai penggunaan slanga dalam aspek pertuturan.

Mengapakah slanga digunakan secara berleluasa dalam kalangan masyarakat kini? Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlaku penggunaan slanga tersebut, antaranya termasuklah pengaruh yang wujud dalam industri perfileman negara ini. Tidak dapat dinafikan bahawa genre filem pada masa kini lebih tertumpu kepada unsur yang melibatkan pelbagai aksi ganas kerana merupakan genre yang tidak lapuk dek panas, tidak lekang dek hujan, maka bagi menghidupkan lagi watak yang dilakonkan, penggunaan bahasa slanga seperti “der”, “bai”, “seh” dan sebagainya dikatakan bersesuaian untuk menghasilkan filem yang bertepatan dengan genrenya. Namun begitu, permasalahan lain mula timbul apabila perkataan-perkataan slanga tersebut digunakan secara meluas. Hal ini dikatakan demikian kerana, perkataan slanga akan terus merebak dan banyak digunakan dalam laman sosial facebook, twitter, instagram yang akhirnya menjadi ikutan pada masa kini.

Antara permasalahan yang timbul apabila remaja dikatakan kurang menitikberatkan aspek kesopanan dalam pertuturan ketika berkomunikasi dengan individu yang lain. Tanpa menitikberatkan konteks, sesetengah remaja cenderung untuk menggunakan slanga dalam pertuturannya sehingga hal itu memperlihatkan kurangnya etika bertutur dalam diri remaja tersebut. Bukan itu sahaja, isu penggunaan slanga semasa berbahasa melemahkan tahap penguasaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam kalangan remaja. Apabila hal ini berlaku secara berlarutan, maka entiti bahasa Melayu akan terjejas. Oleh hal yang demikian, pihak berwajib harus membuka mata bagi menangani isu ini agar kedaulatan bahasa Melayu dapat dikembalikan.

Komentar ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Ogos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *