Kecenderungan yang Perlu Dibendung

      No Comments on Kecenderungan yang Perlu Dibendung

    “Next station, Chan Sow Lin, Passengers to Sri Petaling, please disembark here and proceed to platform 2A”. “Stesen berikutnya, Chan Sow Lin. Penumpang ke Sri Petaling sila buat pertukaran di sini dan teruskan perjalanan anda ke platform 2A”. Begitulah pengumuman yang sering kedengaran setiap kali penumpang menaiki Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) untuk ke destinasi pilihan masing-masing. Pengumuman ini agak wajar jika ditujukan kepada palancong asing semata-mata. Namun begitu, pengumuman yang dilakukan dalam dwibahasa ini menyebabkan bahasa Melayu itu sendiri seolah-olah tidak begitu kukuh pada kaca mata rakyat di negara ini. Walau bagaimanapun, hal ini tidak begitu menjengkelkan jika hendak dibandingkan dengan situasi dalam tren kelajuan tinggi Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam iklan televisyen yang dipaparkan dalam tren untuk mengiklankan destinasi pelancongan yang terdapat di Malaysia. Walhal, penumpang yang berada dalam tren berkenaan majoritinya warga tempatan.

    Pada November 2015 yang lalu, sesi perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat bertukar menjadi kecoh apabila berlakunya pertikaman lidah beberapa ahli parlimen berhubung penggunaan bahasa Inggeris di dewan itu. Kekecohan bermula apabila Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) yang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 Peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengemukakan soal hak ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk berucap dalam bahasa Inggeris. Beliau yang memulakan ucapan perbahasannya dalam bahasa Melayu, kemudian beralih kepada bahasa Inggeris. Lantas Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, mencelah dan menyatakan kepada beliau bahawa ucapan dalam bahasa Inggeris hanya dibenarkan dengan izin speaker sahaja. Chong bagaimanapun meneruskan ucapannya dalam bahasa Inggeris tanpa menghiraukan arahan tersebut. Dalam kekalutan itu, Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) mencelah kerana tidak bersetuju dengan tindakan Chong. Lalu, pertikaman lidah berlaku semula. Situasi ini menunjukkan masih ada individu yang cuba mempertahankan ego untuk berucap dalam bahasa Inggeris walaupun peraturan di Dewan Rakyat menyatakan perbahasan tersebut perlu berlangsung dalam bahasa kebangsaan. Dalam situasi ini, adakah Chong langsung tidak memiliki “jiwa” terhadap bahasa Melayu sehingga sanggup bertelagah hanya untuk mengangkat martabat bahasa Inggeris, sedangkan beliau merupakan warganegara Malaysia?

    Isu kegagalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu seolah-olah timbul semula. Tegasnya, citra bahasa di tempat awam masih memerlukan kesungguhan PBT untuk menguatkuasakan undang-undang kecil berhubung dengan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan, nama premis perniagaan, nama tempat, nama bangunan dan paparan lain di tempat awam. Walau bagaimanapun, penggunaan nama yang tidak mesra bahasa kebangsaan terus berleluasa. Apabila diteliti, nama
tempat, taman perumahan, hotel, restoran, jalan serta premis perniagaan di ibu kota kebanyakannya lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris. Dalam konteks premis perniagaan, bagi menampakkan sedikit unsur kemelayuan, mereka menggabungkan bahasa Melayu-Inggeris. Walaupun pada mulanya kelihatan agak janggal, namun lama-kelamaan nama tersebut semakin diterima ramai sehingga menjadi trend kepada bakal pengusaha premis perniagaan baharu. Adakah penggunaan nama dalam bahasa kebangsaan tidak meletakkan “populariti” premis tersebut di tempat yang sewajarnya? Adakah segala-galanya berkait rapat dengan strategi perniagaan? Apa-apa pun alasannya, keadaan yang berlaku adalah disebabkan tanggapan yang kurang tepat terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu sendiri. Oleh hal yang demikian, pandangan sebegini menyebabkan penggunaan bahasa kebangsaan kerap kali dipinggirkan dalam rancangan pembangunan.

    Pihak yang berwajib pula kelihatan kurang bersungguh-sungguh untuk bertindak. Penguatkuasaan dilakukan hanya selepas ditegur oleh pelbagai pihak. Dalam hal ini, kesungguhan mereka untuk menguatkuasakannya kurang terserlah. Jika adapun, sekadar memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Berdasarkan audit yang dijalankan oleh PBT dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hampir 30 peratus sahaja papan iklan di Lembah Klang menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Kebanyakan PBT masih belum melaksanakan Sistem Khidmat Pengesahan Bahasa DBP bagi tujuan iklan di tempat awam.

    Sesungguhnya, aspek penguatkuasaan tidak seharusnya dijalankan sambil lewa. Kebanyakan pengusaha premis perniagaan menganggap tindakan mereka meletakan nama sesuka hati bukan merupakan satu kesalahan besar, apatah lagi mereka menganggap keadaan itu hanyalah satu kesalahan bahasa. Jika tidak, masakan nama syarikat, papan iklan mega, premis perniagaan dan projek pembangunan yang menggunakan bahasa Inggeris atau yang telah dirojak lebih menonjol di seluruh negara.

    Setelah diamati, hanya gerai makan, restoran atau kedai runcit di kawasan pinggir bandar atau kampung sahaja menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Adakah mereka lebih menghargai bahasa kebangsaan? Barangkali, kecenderungan meletakkan nama premis perniagaan atau nama-nama lain di tempat awam dalam bahasa Inggeris bunyinya kelihatan lebih global dan “enak” didengar.

Sidang editor Pelita Bahasa mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan 2016 kepada
pembaca setia dan semua rakyat Malaysia.

Abd Kadir Mohd Ayub

Tinta editor dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Ogos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *