Pencarian

      No Comments on Pencarian

Oleh Nordin Saad

Dia baharu sahaja tersedar yang rakannya tidak ada bersama. Mungkin semasa mereka berebut-rebut melangkah turun dari kereta api laju dalam kesesakan sebentar tadi, mereka terpisah. Biarlah. Dia menganggap perpisahan itu hanya sementara. Dia pasti akan bertemu semula dengan rakan baiknya itu. Kemudahan perhubungan, sentiasa ada di tangan. Bila-bila masa sahaja dia boleh berhubung menggunakan telefon bimbit pintarnya. Buat seketika, biarlah mereka berpisah. Dia lebih selesa bersendirian begitu. Dia tidak mahu mengganggu rakannya itu. Malah, dia juga tidak mahu diganggu.

Dia ingin melampiaskan hobinya yang agak berbeza daripada hobi rakannya. Walaupun mereka berdua bersahabat baik, tidak salah memiliki hobi yang tidak sama. Itulah pendiriannya. Dia gemar bersendirian. Duduk berjam-jam tanpa jemu di pinggir pusat membeli belah ‘Sogo’ atau KL Sentral atau di Pudu Sentral sambil memerhati gelagat dan pergerakan manusia yang tidak pernah berhenti, bagai air yang sentiasa mengalir. Tidak ada perhentiannya. Ke mana air itu mengalir? Dia kurang pasti. Malah, dia tak pernah ambil peduli. Begitu juga dengan aliran manusia di bandar raya kosmopolitan itu. Tak pernah berhenti. Siang. Malam. Pagi. Petang. Subuh. Maghrib. Isyak. Zohor atau Asar. Manusia di kota itu sentiasa bergerak. Bergerak dan bergerak. Dia tidak pernah peduli ke mana destinasi yang dituju oleh manusia itu? Ke mana manusia itu bergerak?

Tetapi, kali ini dia bukan lagi duduk di Sogo, KL Sentral atau di Pudu Sentral yang serba canggih dan cantik itu. Ataupun di pinggir KLCC yang sering dilawati oleh rombongan pelajar sekolah dari seluruh negara. Uniknya, dia sendiri tidak tahu di mana dia berada sekarang. Biarlah. Dia pun tidak ingin ambil tahu. Dia hanya ingin memerhati gelagat manusia di situ. Itu sahaja keinginannya. Dia tidak gemar menikmati kecantikan panorama yang sering menjadi kegilaan ramai orang. Biarlah orang lain berbangga dengan keindahan reka bentuk bangunan yang tersergam di kota raya itu. Biarlah orang memuji kebersihannya yang sentiasa terjaga dan penduduknya yang amat berdisiplin terhadap kebersihan. Biarlah tandas awamnya dikategorikan sebagai tandas lima atau enam bintang pun, dia tidak pernah peduli. Dia hanya peduli kepada pergerakan manusia yang bertali arus dan tidak pernah berhenti itu.

 

Cerpen ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Julai

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *