Bahasa Menggambarkan Peribadi

      No Comments on Bahasa Menggambarkan Peribadi

Oleh Hashim Ahmad

Sering kali kita berjumpa seseorang yang kelihatan pendiam dan warak tetapi mempunyai hati yang busuk kerana suka mengumpat, mengeji dan cemburu kepada rakan dan temannya. Tidak kurang juga kita bersua dengan individu yang berpakaian comot, bekelakuan kasar dan ganas, tetapi hatinya baik-suka menderma dan melakukan amalan soleh.

Manusia berbeza dengan makhluk yang lain kerana dikurniakan akal yang sempurna. Dengan adanya akal, manusia dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk, antara dosa dengan pahala, antara makruf dengan mungkar dan antara yang berfaedah dengan sebaliknya.

Walaupun manusia itu merupakan sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, antara mereka pula terdapat perbezaan dalam banyak hal. Ada manusia yang bertakwa kepada Allah dan hidup dalam keadaan zahid. Ada pula yang hidup tanpa menghiraukan perintah Allah sehingga menjadikan nafsu sebagai raja dan syaitan sebagai menteri. Selain itu, tidak kurang pula yang melakukan kedua-duanya sekali, iaitu mengerjakan suruhan Allah, tetapi larangan-Nya masih dilakukan.

Sekali imbas, agak sukar bagi kita untuk mengenali peribadi, perilaku dan corak hidup seseorang. Sering kali kita berjumpa seseorang yang kelihatan pendiam dan warak tetapi mempunyai hati yang busuk kerana suka mengumpat,mengeji dan cemburu kepada rakan dan temannya. Tidak kurang juga kita bersua dengan individu yang berpakaian comot, berkelakuan kasar dan ganas, tetapi hatinya baik suka menderma dan melakukan amalan soleh.

Dalam hal ini, satu perkara yang boleh dijadikan asas untuk mengenali peribadi dan perlakuan seseorang adalah dengan memerhatikan tutur katanya. Seorang pembaca boleh mengenali peribadi seorang penulis dengan memerhati kata-kata yang selalu diulangi sepanjang penulisannya. Seorang penulis tidak akan mengulangi katakatanya jika kata-kata itu tidak mempunyai daya penarik yang mampu menawan hati dan minatnya.

Jika pembaca hendak mengenali penulis itu dengan lebih dekat lagi, maka perhatikanlah gaya tulisan dan nada perbahasaannya. Adakah bahasa tersebut mengandungi irama yang duka atau irama yang ria, irama yang angkuh atau irama yang merendah diri, irama yang menceroboh atau irama yang menyerah? Sesungguhnya, gaya tulisan dan nada perbahasaan itulah yang mencerminkan perasaan atau aliran jiwa seseorang.

Petikan ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Julai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *