Ekspresi Cinta dalam Peribahasa Melayu

      No Comments on Ekspresi Cinta dalam Peribahasa Melayu

Oleh Syazwana Dali

Peribahasa Melayu mempunyai kaitan yang rapat dengan kehidupan dan pemikiran bangsa melayu. Sebagai salah satu daripada puisi tertua yang memaparkan akal budi bangsa Melayu, penciptaan peribahasa sangat terikat dengan adat istiadat Melayu lama. Peribahasa Melayu yang dicipta berdasarkan pengalaman hidup tersebut turut memancarkan nilai dan hati budi orang Melayu. Perwatakan serta sifat orang Melayu juga dapat diketahui daripada peribahasa Melayu khususnya berkaitan dengan pancaran emosi yang dapat dicungkil dalam ungkapan ini.

Dalam peribahasa, terpancarnya unsur-unsur emosi seperti kasih sayang, cinta sesama manusia dan Maha Pencipta. Cinta dalam peribahasa dapat dibahagikan kepada lima, iaitu cinta kepada Tuhan, cinta kepada sahabat, cinta kepada keluarga, cinta antara suami dengan isteri, dan cinta kepada kekasih.

Fitrah manusia dalam mencintai dan dicintai, maka manusia akan merasakan nikmat mencintai orang tuanya, orang di sekitarnya dan sesamanya, bahkan betapa nikmatnya mencintai Tuhan yang Maha Esa. Peribahasa “kasih sepantun tulisan sepinggan” menonjolkan ekspresi cinta yang abadi, iaitu cinta kepada Tuhan yang Maha Agung, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jika Tuhan sentiasa menyayangi hamba-Nya, mengapakah tidak kita mencintai Dia yang memberikan nikmat hidup walaupun kita sentiasa melakukan kekhilafan? Cinta yang abadi bukan sahaja kepada Tuhan, malah sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita juga harus cinta kepada baginda seperti peribahasa “bagai menjaga permata intan ketika dicanai” yang bererti kasih sayang yang tiada bandingnya. Cinta kepada Rasulullah adalah yang selayaknya melebihi cinta kepada manusia.

 

Cinta kepada Tuhan dan Rasul
• Kasih sepantun tulisan sepinggan. Kasih yang abadi.

• Bagai menjaga permata intan ketika dicanai. Kasih sayang yang tiada

bandingnya.

 

 

 

Cinta kepada sahabat
• Hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing. Sahabat yang setia dan saling tolong-menolong.

• Terlentang sama makan abu, tengkurap sama makan tanah. Kesetiaan dalam persahabatan atau percintaan sehingga ikhlas dalam menjalani hidup, baik suka mahupun duka.

• Sekain sebaju, selauk senasi. Gambaran persahabatan atau ikatan percintaan yang seia sekata dan sehidup sepenanggungan.

• Kasih saudara sama ada, kasih bapa menokok harta, kasih ibu sama rata, kasih sahabat sama binasa. Kasih yang sama beradalah kasih yang sempurna, sebab biar bagaimanapun kasih seseorang itu akan kawannya, namun kerana harta akan bercerai juga akhirnya.

Sahabat merupakan teman sejati yang sentiasa mendampingi saat kita susah mahupun senang. Bersesuaian dengan peribahasa “hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing” memerihalkan sahabat adalah orang yang setia, bersama-sama membantu kala suka dan duka selain daripada ahli keluarga terdekat seperti yang terungkap dalam peribahasa “sekain sebaju, selauk senasi”. Namun begitu, tidak semua sahabat itu elok budi pekertinya, ada juga yang mungkin hatinya telah hitam sehingga buta kerana harta. Perkara tersebut sinonim dengan peribahasa “kasih saudara sama ada, kasih bapa menokok harta, kasih ibu sama rata, kasih sahabat sama binasa” yang menunjukkan hubungan persahabatan boleh terputus kerana tamak akan harta seperti wang ringgit mahupun barang berharga.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Julai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *