Memperjuangkan Kedaulatan Bahasa

      No Comments on Memperjuangkan Kedaulatan Bahasa

Judul Buku : Kaca di Lantai

Pengarang : Alias Ismail

Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit : 2016

Pengulas : Liya Winchester

    Penggunaan bahasa yang berkesan seharusnya tidak hanya berlaku dalam urusan rasmi semata-mata, sebaliknya turut melibatkan urusan kehidupan sehari-hari. Walau bagaimanapun, perkara itu sukar dilihat, bahkan kadangkala dalam urusan rasmi pun banyak pengguna bahasa tidak begitu cenderung mengamalkan penggunaan bahasa yang berkesan. Bukan sahaja terlalu banyak bahasa basahan, slanga, dan dialek digunakan, malahan bahasa rojak iaitu percampuran bahasa Melayu dengan bahasa lain juga seolah-olah telah mengambil alih penggunaan bahasa Melayu yang betul. Perkara ini pernah disentuh secara rinci oleh Pelita Bahasa dalam rencana utamanya pada Mac yang lalu dengan judul Bersyarat Mempopularkan Bahasa.

    Jika kita melihat perkara ini dalam konteks tahap kualiti jati diri, sudah tentu akan timbul suatu perasaan bimbang mengenai masa depan bahasa Melayu di negara ini. Masyarakat perlu dibawa ke haluan baharu, yang difikirkan mampu memudahkan mencapai matlamat mendaulatkan bahasa kebangsaan. Oleh sebab itu, penerbitan sesebuah karya seharusnya turut mengambil kira kepentingan perkara ini. Dengan erti kata yang lain, kita sekali-kali tidak boleh membiarkan masyarakat menentukan nasib bahasa kita, sebaliknya kitalah yang sepatutnya menentukan kualiti bahasa dalam kalangan anggota masyarakat dengan perancangan yang rapi dan berkesan. Hal ini merupakan suatu cabaran kepada pengkarya dan pihak penerbitan karya.

    Kesungguhan memartabatkan penggunaan bahasa yang berkesan dan usaha meletakkan nilai ilmu serta maruah bahasa pada kedudukan yang sewajarnya jelas kelihatan dalam kumpulan cerpen Kaca di Lantai, tulisan Alias Ismail. Dalam buku yang mengandungi 18 buah karya ini, terdapat dua buah cerpen iaitu “Panah Sakti Antonimisme” dan “Senarai Nama Isteri Pak Long” yang memperincikan tentang persoalan bahasa.

    Dalam “Panah Sakti Antonimisme”, watak-wataknya ini berbicara tentang konsep Melayu dari perspektif linguistik dan ketatabahasaan. Pembaca berpeluang mempelajari rumus bahasa dan dapat menentukan kategori sebenar perkataan Melayu. Pembaca turut berpeluang menguji pemikiran mereka berkaitan falsafah yang terkandung dalam peristiwa watak utama memanah kepalanya sendiri sebelum keluar dengan langkah perkasa ke medan tempur dengan pakar-pakar bahasa palsu dengan bantuan Tuan Pendeta. Dalam cerpen “Senarai Nama Isteri Pak Long” pula, seorang wartawan dan jurugambar akhbar arus perdana mendapat pengajaran berguna daripada Pak Long tentang kepentingan penggunaan bahasa yang berkesan. Kedua-dua pengamal media itu yang teruja dengan senarai nama 23 orang isteri Pak Long menemu bual lelaki berkenaan untuk mengejar berita sensasi dengan harapan tulisan dan gambar mereka tesiar pada muka hadapan.

    Demikianlah huraian ringkas mengenai “Panah Sakti Antonimisme” dan “Senarai Isteri Pak Long” yang terdapat dalam Kaca di Lantai terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP). Selain kedua-dua cerpen ini, 16 buah cerpen lain ialah “Fantasia Bulan Madu”, “Metonimi”, “Bicara Menjelang 16 Mei”, “Cinta Faizal dan Nurliana”, “Panthera Leo”, “Aura”, “Pengumpul Kaca”, “Keranamu Ambika”, “Sekotak Rokok Sebiji Bola”, “6-1” “Grafiti”, “Kucing”, “Sidang Peramal”, “Kaca di Lantai”, “Batu dan Seekor Sesumpah” serta “Penugal Pohon Kata”.

    Sebahagian besar karya dalam kumpulan cerpen ini memenangi sayembara anjuran pelbagai pihak dan diterbitkan oleh media berwibawa termasuklah majalah terbitan DBP. Oleh sebab itu, Kaca di Lantai wajar mendapat perhatian sekali gus memberi tanda hormat
kepada bahasa Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *