Nilai-nilai Murni dalam Gurindam “Beberapa Petua Hidup”

Oleh Sara Beden

    Puisi tradisional bukan sahaja berfungsi sebagai wahana hiburan, malahan mengandungi unsur pengajaran dan pendidikan moral kepada masyarakat sebagai panduan yang sangat berguna ke arah kesejahteraan hidup. Puisi tradisional merangkumi gurindam, seloka, teromba, talibun, peribahasa berangkap, teka-teki dan mantera. Gurindam “Beberapa Petua Hidup” karangan Za’ba merupakan salah sebuah puisi tradisional yang telah dipilih oleh panel penilai untuk dimuatkan dalam Antologi Sejadah Rindu (2015). Antologi ini merupakan antologi teks Komsas terbaharu dalam subjek Bahasa Melayu yang mula diguna pakai untuk murid tingkatan lima di sekolah menengah mulai sesi persekolahan 2016 bagi menggantikan Antologi Dirgahayu Bahasaku.

    Gurindam merupakan bentuk puisi Melayu tradisional yang terdiri daripada dua baris yang berpasangan, bersajak atau berirama, serta memberikan idea dan makna yang lengkap. Harun Mat Piah (1989) dalam bukunya yang bertajuk Puisi Melayu Tradisional, menyatakan bahawa baris pertama dianggap sebagai syarat (potasis) dan baris kedua sebagai jawab (apodosis).Walaupun gurindam secara umumnya berbentuk bebas (ada juga bentuk terikat dari segi jumlah baris dan rangkap), namun dari segi isinya memperlihatkan kandungan yang benar dan serius, perasaan yang berat dan tidak bermaksud jenaka semata-mata. Gurindam memberatkan fungsi sebagai pengajaran dalam usaha mendidik ahli masyarakat agar menjadikan nasihat yang berguna sebagai pedoman hidup di dunia dan akhirat. Gurindam “Beberapa Petua Hidup” karangan Za’ba mengandungi 36 rangkap yang terbahagi kepada tujuh subtajuk, iaitu fikir dan kata, silang sengketa, ilmu, dunia pergaulan, sifat-sifat yang baik, perbuatan yang baik dan sifat-sifat yang jahat.

    Fikir dan kata

Bil Rangkap Nilai
1  

Kurang fikir, kurang siasat,

Tentu dirimu kelak tersesat

 

Rasional
2  

Fikir dahulu sebelum berkata,

Supaya terelak silang sengketa

 

Kebijaksanaan
3  

Perkataan tajam jika terlepas,

Ibarat beringin, racun dan upas

 

 

 

Berhati-hati/berwaspada
4  

Kalau mulut tajam dan kasar,

Boleh ditimpa bahaya besar,

Berdasarkan subtajuk yang berhubung dengan fikir dan kata, terdapat tiga nilai murni yang hendak disampaikan sebagai pedoman dan petua dalam kehidupan, iaitu nilai rasional, kebijaksanaan dan berhati-hati. Nilai rasional dikenal pasti dalam rangkap 1 yang menyuguhkan supaya berfikir dengan waras agar tidak melakukan kesilapan yang boleh membawa kesesatan. Apabila nilai rasional diutamakan dalam berfikir, maka kita dapat menjamin kesejahteraan dan kesihatan mental kesan daripada corak atau cara berfikir yang positif. Sementara rangkap 2 pula mengutarakan nilai kebijaksanaan, iaitu dengan cara berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan patah-patah kata. Seseorang yang bijaksana akan memperlihatkan kearifan dalam berkata-kata dengan memilih kata, ungkapan dan ayat yang bersesuaian agar tidak menyinggung perasaan orang lain yang akhirnya boleh mengundang sengketa. Misalnya, dengan mengutamakan penggunaan bahasa yang menunjukkan penggunaan bahasa yang halus, sopan dan betul mengikut konteksnya. Rangkap 3 dan 4 pula mengetengahkan nilai berhati-hati. Sikap berhati-hati amat penting dalam kehidupan seharian agar kata-kata yang terlepas dari mulut kita tidak seperti beringin (pokok yang mistik dan berhantu), atau racun dan upas (pokok nipah yang boleh mengeluarkan racun). Kata-kata yang mengandungi “racun” sudah pasti mengenakan bisanya kepada orang di sekelilingnya sehingga membawa kemudaratan. Perkara yang sama juga dilontarkan dalam rangkap 4 bahawa ketajaman kata-kata boleh membahayakan diri sendiri apabila timbul perasaan dendam daripada pihak orang lain yang tidak senang mendengar kata-kata tajam tersebut. Oleh itu, ada pepatah mengatakan bahawa lidah manusia lebih tajam daripada sebilah pisau dan turut relevan dengan peribahasa kerana pulut santan binasa, atau kerana mulut badan merana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *